
CYBERJAYA, 17 April – Malaysia tidak menjual minyak kepada negara lain secara sewenang-wenangnya kerana keutamaan kerajaan adalah memastikan bekalan tenaga domestik mencukupi untuk kegunaan rakyat, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Perbincangan Malaysia-Australia menekankan perdagangan dua hala yang saling melengkapi, bukan penjualan minyak.
- Malaysia memerlukan fosfat daripada Australia manakala Australia memerlukan urea daripada Malaysia.
- Kerajaan tidak mampu membekalkan diesel kepada negara lain sekarang; keutamaan bekalan untuk rakyat.
- Malaysia dan Australia komited memastikan bekalan tenaga stabil serta menggalakkan aliran perdagangan terbuka bagi memperkukuh ekonomi kedua-dua negara.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata perbincangan dengan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese semalam menyentuh mengenai keperluan sumber perdagangan dua hala yang bersifat saling melengkapi dan bukannya melibatkan penjualan minyak seperti didakwa pihak tertentu.
“Sebenarnya kita tak jual minyak. Kita kata kita perlu daripada dia, ini kadang-kadang kita kena faham. Kita perlu (bahan baja) fosfat daripada dia (Australia), dia pula perlu urea daripada kita,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar berkata kerajaan juga tidak berupaya membekalkan diesel kepada pihak luar pada masa ini memandangkan bekalan sedia ada perlu diutamakan untuk kepentingan rakyat dalam negara.
“Ada minyak, kita kata kita boleh pertimbang sekiranya ada lebihan. Sekarang ini belum. Tetapi tohmahan itu lain. Jadi saya tidak fikir wajarlah begini rupa,” katanya.
Semalam, Malaysia dan Australia menegaskan komitmen bersama untuk memastikan bekalan tenaga yang stabil dan berdaya tahan dalam mendepani ketidaktentuan global.
Datuk Seri Anwar dan rakan sejawatnya Albanese yang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula Rabu, turut menekankan kepentingan aliran perdagangan terbuka dalam senario ketidaktentuan global bagi memperkukuh ekonomi kedua-dua negara. – BERNAMA