Bayi jalani pembedahan Spina Bifida dalam rahim kini sihat

FB Dr Zulkefly Ahmad

KUCHING, 17 April – Bayi yang menjalani pembedahan janin dalam rahim bagi membaiki Spina Bifida di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada September tahun lalu kini berada dalam keadaan baik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bayi membesar sihat; mampu bernafas, menelan dan membuang air dengan baik.
  • Kaki bergerak aktif dan kuat; tidak memerlukan pemasangan VP shunt selepas lahir.
  • Pembedahan pranatal pertama negara pada janin 26 minggu tunjuk kepakaran tempatan dan beri harapan kepada keluarga.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bayi berusia empat bulan itu membesar sihat serta mampu bernafas, menelan serta membuang air dengan baik.

“Lebih menakjubkan kakinya bergerak aktif dan kuat, malah tidak memerlukan pembedahan pintasan otak (VP Shunt) selepas dilahirkan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Dalam lawatan ke HUS semalam, beliau sempat bertemu dengan pakar yang terlibat dalam pembedahan berkenaan.

Beliau berkata kejayaan rawatan pranatal itu membuktikan keupayaan kepakaran tempatan dalam melaksanakan prosedur berteknologi tinggi.

“Ia pastinya memberikan sinar harapan dan kelegaan amat besar buat keluarga di Malaysia yang mungkin berhadapan dengan diagnosis serupa pada masa hadapan,” katanya.

Tambahnya, pembedahan ke atas janin berusia 26 minggu itu merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini, sekali gus menjadi satu lonjakan dalam bidang perubatan khusus.

“Spina Bifida ialah kecacatan apabila tulang belakang janin gagal tertutup sepenuhnya, yang boleh menyebabkan lumpuh serta komplikasi lain,” katanya.

Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly, intervensi awal ketika dalam kandungan membantu melindungi saraf tunjang bayi serta mengurangkan risiko komplikasi serius.