
TOKYO, 18 Oktober – Malaysia dan Jepun berusaha memperkukuh kerjasama pertahanan serta memperluas bidang kerjasama strategik.
- Mesyuarat bilateral dengan Shinjiro Koizumi dan Menteri Luar Toshimitsu Motegi diadakan sepanjang lawatan kerja.
- Menyertai majlis menandatangani dokumen bantuan geran di bawah program Official Security Assistance Kerajaan Jepun.
- Pertemuan dengan Acquisition, Technology & Logistics Agency (ATLA) serta lawatan ke syarikat pertahanan Toshiba.
- Ketibaan disambut Duta Besar Malaysia, Atase Pertahanan serta disertai pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan Ketua Staf ATM.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataan memaklumkan, lawatan kerja empat hari ke Jepun yang bermula pada 18 hingga 21 Oktober itu antara lain menumpukan mesyuarat bilateral bersama rakan sejawatnya Shinjiro Koizumi, dan Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi.
Beliau turut dijadualkan menghadiri majlis menandatangani dokumen bantuan geran bawah program Official Security Assistance (OSA) Kerajaan Jepun.
“Lawatan ini turut melibatkan pertemuan bersama Acquisition, Technology & Logistics Agency (ATLA) serta lawatan ke syarikat pertahanan Jepun, Toshiba.
“Berlandaskan Perkongsian Strategik Komprehensif antara Malaysia dan Jepun, lawatan ini diharap dapat memperkukuh hubungan pertahanan serta memperluas ruang kerjasama dalam bidang berkepentingan bersama.
“Semoga segala usaha ini membawa manfaat nyata kepada pertahanan negara, di samping meningkatkan persefahaman dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau,” menurut kenyataan itu.
Ketibaan Datuk Seri Mohamed Khaled di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, disambut Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani dan Atase Pertahanan Malaysia di Tokyo, Kepten Mohamad Fazri Ibrahim daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Turut menyertai lawatan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani Daud serta Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Seri Haji Muhammad Huzaimi Sabri.