Enam maut dalam serangan Rusia di timur laut Ukraine

Foto AFP

KIEV, 20 Oktober – Enam orang, termasuk dua kanak-kanak, maut manakala 15 lagi cedera dalam serangan dron Rusia yang menyasarkan sebuah taman di wilayah Kharkiv, timur laut Ukraine pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dron Rusia menyasarkan taman rekreasi di Nova Vodolaga, wilayah Kharkiv, berhampiran sebuah kafe.
  • Zelensky dan gabenor wilayah mengutuk serangan sebagai kekejaman melampau dan tindakan pengganas, menekankan sasaran terhadap orang awam.
  • Zelensky menggesa sekutu meningkatkan bantuan pertahanan udara, mengekalkan sekatan terhadap Rusia, meminta AS lebih tegas dan Eropah terus sokong Ukraine.

Serangan itu berlaku di sebuah taman rekreasi di bandar Nova Vodolaga, berhampiran kawasan konflik di wilayah Kharkiv.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menyifatkan serangan itu sebagai satu kekejaman melampau.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata dron berkenaan menyasarkan orang awam di sebuah taman awam berhampiran sebuah kafe. Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun dan ibunya antara mangsa yang terkorban dalam serangan itu.

Gabenor Wilayah Kharkiv, Oleg Synegubov, memaklumkan dua kanak-kanak antara enam mangsa yang maut, berbanding tiga seperti dilaporkan sebelum ini.Beliau berkata, seramai 15 orang lagi cedera, termasuk tujuh kanak-kanak.

Dalam hantaran terdahulu, Synegubov menyifatkan serangan itu sebagai satu lagi tindakan pengganas oleh Rusia.

Beliau berkata, pihak musuh menyasarkan taman rekreasi pada waktu siang meskipun kawasan itu langsung tidak mempunyai kemudahan ketenteraan.

Sementara itu, Zelensky sekali lagi menggesa negara sekutu meningkatkan bantuan pertahanan udara serta mengekalkan sekatan terhadap Rusia selagi pembunuhan berterusan.

Beliau turut meminta Amerika Syarikat mengambil pendirian lebih tegas dan negara-negara Eropah meneruskan sokongan kepada Ukraine.-AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.