
MONTREAL, 20 Oktober – Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, berikrar akan menjalankan siasatan menyeluruh dan segera berhubung kebakaran yang mengorbankan empat anggota tentera serta mencederakan puluhan yang lain di sebuah pangkalan latihan.
- Kebakaran berlaku pada Sabtu lalu di Pangkalan Wainwright, Alberta, barat Kanada.
- Punca kebakaran masih belum diketahui.
- Tiupan angin kencang menyebabkan api merebak hampir satu kilometer dalam kurang seminit ke kawasan anggota berkumpul.
- 50 penyiasat berada di lokasi, kerajaan memastikan mereka mendapat segala sumber untuk melengkapkan siasatan dengan teliti serta segera.
Kebakaran berlaku pada Sabtu lalu, ketika latihan di Pangkalan Wainwright, wilayah Alberta, barat Kanada, Namun punca kebakaran masih belum diketahui.
Carney berkata, tiupan angin kencang menyebabkan api merebak hampir satu kilometer dalam tempoh kurang seminit ke kawasan anggota tentera berkumpul.
Beliau berkata seramai 50 penyiasat kini berada di lokasi kejadian dan kerajaan akan memastikan mereka mendapat segala sumber yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan dengan teliti serta segera.
Kebakaran itu mengorbankan empat anggota tentera, manakala 39 lagi cedera, termasuk 19 yang masih berada dalam keadaan kritikal.
“Beberapa anggota angkatan tentera kita masih berjuang untuk menyelamatkan nyawa,” katanya di Parlimen Ottawa selepas ahli-ahli Parlimen bertafakur selama seminit bagi memperingati mangsa.
Sementara itu, Mejar Jeneral Wade Rutland berkata, anggota tentera itu terkejut apabila api marak secara tiba-tiba ketika sedang menjalankan latihan di sebuah padang di Alberta.
Beliau turut menolak laporan mengenai letupan infrastruktur minyak dan gas serta menafikan kemungkinan kejadian itu berpunca daripada campur tangan pihak luar.
Pangkalan Wainwright merupakan antara pangkalan terbesar Angkatan Tentera Kanada dan sering menjadi lokasi latihan yang melibatkan anggota tentera negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).-AFP