Sungai Temin cetek, sempit didakwa punca banjir berulang di Changlun

Foto Fail APM Kedah

CHANGLUN, 18 Oktober – Keadaan Sungai Temin di sini yang semakin cetek, sempit dan penuh dengan semak samun dipercayai menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kejadian banjir berulang di beberapa kawasan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Banjir berulang melibatkan beberapa kampung dan sekolah, menyebabkan kerugian tinggi serta menjejaskan aktiviti harian.
  • SK Dato' Wan Kemara, dengan lebih 1,300 murid, terletak beberapa meter dari sungai; banjir masuk cepat ganggu sesi persekolahan dan penyelamatan.
  • PIBG dan penduduk mohon kerajaan membersihkan serta mendalamkan sungai dan bina tebing tinggi; 26 penduduk lapan keluarga dipindahkan ke PPS.

Keadaan itu menyebabkan beberapa buah kampung dan sekolah kerap dilanda banjir hingga menyebabkan kerugian yang tinggi serta menjejaskan aktiviti harian.

Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, antara sekolah yang kerap dilanda banjir sekiranya hujan lebat berterusan dalam tempoh beberapa jam.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Dato’ Wan Kemara, Zainol Abidin Mohamad berkata, sekolah berkenaan yang mempunyai lebih 1,300 murid terletak hanya beberapa meter dari Sungai Temin menyebabkan air masuk dengan cepat ke kawasan sekolah.

Beliau mendakwa keadaan itu bukan sahaja mengganggu sesi persekolahan, malah menyukarkan usaha menyelamatkan barangan dan peralatan apabila banjir berlaku secara mendadak, terutama di luar waktu persekolahan.

Katanya, tahun lalu, sekolah berkenaan dilanda banjir sebanyak dua kali, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap risiko kejadian berulang.

Selain sekolah, rumah penduduk yang terletak berdekatan juga turut berdepan situasi sama.

“Beliau memohon pihak berkuasa membersihkan dan mendalamkan sungai agar air dapat dilalui dengan lancar. Saya juga mengesyorkan tebing yang agak tinggi dibina di sebelah sungai ini agar air tu tidak melimpah ke kawasan sekolah,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Negeri Kedah bercakap kepada RTM selepas meninjau keadaan sungai di belakang sekolah berkenaan.

Hujan lebat berterusan sejak lewat petang semalam mengakibatkan dua kampung iaitu Kampung Baru dan Kampung Tradisi di Mukim Temin dilanda banjir kilat.

Seramai 26 penduduk daripada lapan keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Lembah Keriang yang dibuka pada pukul 11 malam tadi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.