
JOHOR BAHRU, 19 Oktober – Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) bukan satu-satunya faktor yang menjadi rujukan Kerajaan Johor dalam menentukan pembukaan semula sekolah susulan situasi jerebu yang melanda negeri itu.
- Kerajaan meneliti data satelit dan ramalan cuaca untuk mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai keadaan jerebu dan pergerakannya.
- Pergerakan angin dari Kalimantan ke Johor dapat membawa jerebu dan mungkin mengambil masa sehingga seminggu.
- Keputusan buka sekolah memberi keutamaan kepada kesihatan pelajar, mengambil kira masalah seperti asma, URTI dan konjunktivitis.
Sebaliknya, kerajaan negeri turut meneliti maklumat tambahan termasuk data satelit dan ramalan cuaca bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai keadaan jerebu serta pergerakannya.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, antara faktor yang diambil kira ialah pergerakan angin yang membawa jerebu dari Kalimantan ke Johor, yang boleh mengambil masa sehingga seminggu.
“Keputusan bukan dibuat berdasarkan bacaan IPU semata-mata. Kita perlu melihat kesan jerebu terhadap manusia kerana tahap pendedahan bergantung pada tempoh dan kekerapan seseorang menghirup udara tercemar.
“Semakin lama dan kerap seseorang terdedah kepada udara luar yang tercemar, semakin tinggi risiko kesan buruk terhadap kesihatannya.” katanya ketika ditemui media selepas Majlis pengurniaan sumbangan 500 ribu pelitup muka.
Majlis tersebut sumbangan oleh Yayasan Raja Zarith Sofiah negeri Johor di Menara MBJB, di sini.
Tambah Dr Muhammad Naqib, aspek kesihatan pelajar juga menjadi pertimbangan penting, memandangkan kira-kira 40 peratus pelajar di negeri itu dilaporkan mengalami masalah kesihatan seperti asma, jangkitan saluran pernafasan akut (URTI) dan konjunktivitis.
Menurut beliau, kesan jerebu terhadap kesihatan turut bergantung pada tempoh dan kekerapan seseorang terdedah kepada udara tercemar.
Semua sekolah di Johor ditutup sehingga 23 Oktober ini susulan situasi jerebu yang melanda negeri berkenaan.