Kemerosotan nilai moral, rasuah kini jadi endemik dalam masyarakat

Tan Sri Azman Hashim berucap pada Majlis Konvokesyen OUM ke-31.

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Tokoh korporat Tan Sri Azman Hashim menempelak sikap sesetengah pihak yang menjadikan amalan rasuah tidak lagi terpencil sebaliknya telah menjadi “endemik” yang meresap ke dalam sistem, darah dan budaya masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rasuah telah meresap ke dalam sistem, menjejaskan integriti dan nilai moral masyarakat.
  • Skandal besar institusi seperti FELDA dan Tabung Haji mengingatkan kesan buruk penyalahgunaan wang amanah.
  • Kebanggaan "Malaysia Boleh" digantikan rasa "apa pun boleh" akibat rasuah, orang tanpa malu menayangkan kekayaan haram.

Beliau yang juga Canselor Open University Malaysia (OUM) berkata amalan negatif itu sekali gus mencerminkan kemerosotan integriti dan nilai moral yang perlu diberi perhatian serius.

Jelas beliau, skandal besar membabitkan institusi seperti FELDA dan Tabung Haji seharusnya menjadi peringatan serius mengenai kesan rasuah serta penyalahgunaan wang yang diamanahkan untuk kepentingan rakyat.

“Dahulu kita sangat bangga mengucapkan ‘Malaysia Boleh’. Memang benar kita pernah bangga, kita telah mencapai banyak kejayaan, ‘Malaysia Boleh’. Namun hari ini, ia seolah-olah menjadi ‘apa pun boleh’ disebabkan oleh rasuah.

“Kenapa? Disebabkan oleh rasuah. Semua pun boleh, anda sendiri tahu, setiap kali anda bertanya….kenapa perkara ini boleh berlaku?…kenapa perkara itu boleh berlaku?…bagaimana perkara ini dibenarkan berlaku?….sebab rasuahlah, semua boleh,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen OUM ke-31 di sini.

Beliau turut kesal apabila sesetengah masyarakat kini tanpa rasa malu menayangkan kekayaan hasil amalan rasuah sekali gus mencerminkan hakisan nilai moral yang ketara di negara ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.