
KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sesi libat urus bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membincangkan situasi jerebu yang masih membimbangkan serta kesannya terhadap kesihatan rakyat, khususnya murid sekolah.
- Semak dan penambahbaikan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan termasuk prosedur tutup sekolah dan persediaan awal KPM untuk kesinambungan pembelajaran.
- Utamakan kesihatan dan keselamatan murid, tanpa mengabaikan kesinambungan pembelajaran mereka.
- Kerjasama NADMA, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Meteorologi, KPM dan Kementerian Kesihatan untuk memperhalusi cadangan dan langkah tindakan.
- Perkukuh kesiapsiagaan agensi barisan hadapan untuk pencegahan, persediaan, tindak balas dan pemulihan berkesan terhadap Monsun dan ancaman El Nino.
Sesi yang dipengerusikan beliau itu turut meneliti cadangan penambahbaikan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, termasuk prosedur penutupan sekolah dan persediaan awal Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan sekiranya sekolah terpaksa ditutup.
Menurut Datuk Seri Anwar, kesihatan dan keselamatan murid perlu diutamakan, tanpa mengabaikan kesinambungan pembelajaran mereka.
“Saya tegaskan bahawa kesihatan anak-anak mesti menjadi keutamaan, dengan langkah yang teratur bagi memastikan pelajaran mereka tidak terjejas.
“NADMA, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi Malaysia akan memperhalusi cadangan ini bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan,” katanya.
Sesi berkenaan turut membincangkan persediaan negara menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka membawa hujan lebat dan risiko banjir, selain ancaman fenomena Super El Niño yang diramal boleh menyebabkan cuaca panas dan kering melampau pada tahun depan.
Datuk Seri Anwar menegaskan bahawa keselamatan rakyat perlu menjadi keutamaan, manakala bantuan kepada mangsa bencana hendaklah disalurkan dengan segera.
“Nyawa rakyat mesti dilindungi dan bantuan mesti sampai segera kepada mereka yang memerlukan. Inilah amanah yang mesti kita galas bersama,” tegas beliau.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh kesiapsiagaan semua agensi barisan hadapan bagi memastikan langkah pencegahan, persediaan, tindak balas dan pemulihan dapat dilaksanakan dengan pantas serta berkesan.