Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan diperhalusi, kesihatan murid tetap keutamaan – PM

Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara bagi meneliti situasi semasa jerebu serta kesannya terhadap kesihatan rakyat.

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Kerajaan akan memperhalusi Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, khususnya berkaitan arahan penutupan sekolah dan persediaan pembelajaran sekiranya situasi jerebu berlarutan.

RINGKASAN BERITA AI
  • NADMA, JAS dan METMalaysia akan memperhalusi cadangan bersama KPM dan KKM untuk mengurus impak jerebu.
  • Keperluan peruntukan bagi operasi pembenihan awan akan dipenuhi untuk membantu mengurangkan jerebu.
  • Negara bersiap hadapi Monsun Timur Laut, risiko banjir, dan ancaman Super El Nino tahun depan.
  • NADMA diperkasa sebagai pusat penyelarasan operasi bencana; kesiapsiagaan agensi barisan hadapan dipertingkat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesihatan murid perlu menjadi keutamaan di samping memastikan proses pembelajaran tidak terjejas sekiranya sekolah terpaksa ditutup selama beberapa hari.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara yang dipengerusikannya hari ini yang turut meneliti situasi semasa jerebu serta kesannya terhadap kesihatan rakyat.

“Kesihatan anak-anak mesti menjadi keutamaan, dengan langkah yang teratur bagi memastikan pelajaran mereka tidak terjejas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Datuk Seri Anwar berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan memperhalusi cadangan berkenaan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Keperluan peruntukan bagi operasi pembenihan awan akan dipenuhi bagi membantu mengurangkan jerebu, dengan operasi itu dilaksanakan hampir setiap hari bergantung pada keadaan awan yang sesuai,” tegasnya.

Mesyuarat itu turut meneliti persediaan negara menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka membawa hujan lebat dan risiko banjir, selain ancaman fenomena Super El Nino yang diramal menyebabkan cuaca panas dan kering melampau tahun depan.

“Kesiapsiagaan agensi barisan hadapan perlu dipertingkat, manakala NADMA perlu diperkasa sebagai pusat penyelarasan dasar dan operasi merentas agensi, khususnya menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat,” tambah Datuk Seri Anwar.

Beliau berkata langkah pencegahan, persediaan, tindak balas dan pemulihan perlu dilaksana dengan pantas dan berkesan bagi melindungi nyawa rakyat serta memastikan bantuan segera disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya menyeru semua pihak termasuk kerajaan negeri, sektor swasta, sukarelawan dan masyarakat bekerjasama memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi sebarang bencana,” menurutnya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.