
KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Malaysia berjaya mengekalkan validasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi eliminasi jangkitan HIV dan sifilis dari ibu kepada anak, berdasarkan penilaian pencapaian negara bagi tempoh 2021 hingga 2024.
- Pengekalan validasi WHO mencerminkan keberkesanan PMTCT yang diintegrasikan dalam perkhidmatan kesihatan ibu dan anak sejak 1997.
- Liputan saringan HIV dan sifilis bagi ibu hamil melebihi 95 peratus, manakala liputan rawatan antiretroviral mencapai sekitar 99 peratus.
- Kadar jangkitan daripada ibu kepada bayi: HIV 1.52 peratus, sifilis 10 kes per 100,000 kelahiran hidup, memenuhi kriteria WHO.
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, pencapaian itu meneruskan pengiktirafan diperoleh pada 2018, ketika Malaysia menjadi negara pertama di Rantau Pasifik Barat WHO mencapai validasi berkenaan.
“Pengekalan validasi ini mencerminkan keberkesanan Program Pencegahan Jangkitan HIV dan Sifilis dari Ibu ke Anak (PMTCT) yang diintegrasikan dalam perkhidmatan kesihatan ibu dan anak di Malaysia sejak tahun 1997.
“Sepanjang tempoh penilaian, liputan saringan HIV dan sifilis dalam kalangan ibu hamil kekal melebihi 95 peratus, manakala liputan rawatan antiretroviral bagi ibu hamil yang hidup dengan HIV mencapai sekitar 99 peratus,” menurut kenyataan itu.
KKM memaklumkan, pada 2024, kadar jangkitan HIV daripada ibu kepada bayi kekal 1.52 peratus, sekali gus mencapai sasaran WHO iaitu kurang daripada dua peratus.
Manakala, kadar sifilis dalam kalangan bayi akibat jangkitan daripada ibu pula mencatatkan 10 kes bagi setiap 100,000 kelahiran hidup, turut memenuhi kriteria eliminasi WHO tidak melebihi 50 kes bagi setiap 100,000 kelahiran hidup.
“Kejayaan berkenaan merupakan hasil komitmen berterusan anggota kesihatan di semua peringkat serta kerjasama agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan swasta, Majlis AIDS Malaysia, pertubuhan masyarakat sivil dan komuniti,”jelas kenyataan itu lagi.
Sijil dan penghargaan atas kejayaan itu diterima Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, sempena 77th WHO Regional Committee for the Western Pacific yang berlangsung di Manila.
Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kesihatan ibu dan anak serta memastikan akses kepada perkhidmatan saringan, rawatan dan penjagaan kesihatan berkualiti.
“KKM akan terus memperkukuh pengesanan awal, rawatan dan susulan ibu serta bayi bagi memastikan pencapaian ini berkekalan.
“Ibu hamil disarankan mendapatkan penjagaan antenatal seawal mungkin serta melengkapkan saringan dan rawatan yang disyorkan bagi melindungi kesihatan diri dan anak,” katanya.
KKM turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada pencapaian itu, termasuk WHO atas sokongan teknikal dan kerjasama yang diberikan.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly berkata, Malaysia turut mencatat sejarah pada 2018 sebagai negara pertama di Rantau Pasifik Barat dan negara ke-12 di dunia yang mencapai status eliminasi berkenaan.
“Liputan saringan ibu hamil kekal melebihi 95 peratus, manakala liputan rawatan antiretroviral (ARV) mencecah 99 peratus.
“Hasilnya pada 2024, kadar jangkitan HIV kepada bayi kekal rendah pada 1.52 peratus (sasaran WHO: <2 peratus), dan kes sifilis mencatatkan hanya 10 kes bagi setiap 100,000 kelahiran hidup (sasaran WHO: <50 kes),” katanya menerusi hantaran di Facebook.