
KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menetapkan tiga keutamaan strategik bagi memperkukuh pertumbuhan mampan dan daya tahan ekonomi negara, meliputi ekonomi kitaran, pembangunan pusat data lestari serta rangka kerja ketahanan ekonomi nasional.
- MTEN bersetuju Rangka Kerja Ekonomi Kitaran (RKEK) diterima pakai oleh kementerian peneraju dan agensi pelaksana berkaitan.
- RKEK bertujuan mengoptimumkan penggunaan bahan, mengurangkan pembaziran sisa dan memelihara nilai sumber.
- Pelan pengawalseliaan strategik pusat data sejajar kapasiti tenaga dan air, pertingkat nilai tambah tempatan, sokong AI; Rang Undang-Undang Infrastruktur Digital dijangka 2027.
- Cadangan National Economic Resilience Framework (NERF) akan dibentang kepada Jemaah Menteri dan Kementerian Ekonomi akan menyelaras tindakan susulan.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tiga keutamaan itu memerlukan pelaksanaan dasar bersepadu bagi meningkatkan kecekapan penggunaan sumber, memastikan pelaburan pusat data memberi nilai tambah kepada ekonomi domestik serta memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi kejutan ekonomi luaran.
”MTEN bersetuju supaya Rangka Kerja Ekonomi Kitaran (RKEK) diterima pakai oleh kementerian peneraju dan agensi pelaksana berkaitan.
”Ini termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Sumber Manusia (KESUMA),” jelas beliau dalam kenyataan selepas mesyuarat MTEN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, rangka kerja itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan bahan, mengurangkan pembaziran sisa dan memelihara nilai sumber.
Bagi pembangunan pusat data lestari, MTEN bersetuju dengan pelan pengawalseliaan strategik bagi memastikan pertumbuhan industri itu selaras dengan kapasiti bekalan tenaga dan air negara, selain memaksimumkan nilai tambah tempatan serta menyokong aspirasi kecerdasan buatan (AI).
“Pelan pengawalseliaan strategik itu juga akan merangkumi penggubalan Rang Undang-Undang Infrastruktur Digital (Pusat Data) yang dijadual dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 2027,” katanya.
Mesyuarat itu turut meneliti cadangan National Economic Resilience Framework (NERF) bagi membangunkan rangka kerja menyeluruh untuk memperkukuh ketahanan ekonomi negara dalam menghadapi kejutan luaran bagi jangka panjang.
“Cadangan berkenaan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan diperincikan pada peringkat Mesyuarat Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara,” katanya.
Kementerian Ekonomi selaku sekretariat MTEN akan menyelaras dan memantau tindakan susulan bersama kementerian serta agensi pelaksana berkaitan.