
KUCHING, 21 Oktober – Pihak pengurusan dan pihak berkuasa digesa memastikan proses siasatan kes seorang pelajar yang didakwa menyerang seorang guru menggunakan kapak sehingga mengalami kecederaan di sebuah sekolah swasta di Kuching, dijalankan secara menyeluruh, profesional dan telus.
- Siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti punca dan menentukan tindakan undang-undang yang sewajarnya.
- Tangani bukan sekadar keselamatan fizikal; utamakan kesejahteraan emosi, kesihatan mental, persekitaran sosial dan disiplin pelajar.
- Penglibatan ibu bapa, sekolah dan kaunselor penting dalam pembentukan disiplin dan pencegahan insiden.
- AMK Sarawak sokong perkuat keselamatan sekolah, prihatin terhadap kebajikan, dan simpati kepada guru yang cedera.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak, Azlan Norita menerusi kenyataan menegaskan, siasatan itu penting bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta menentukan tindakan sewajarnya berdasarkan lunas undang-undang.
“Pendekatan dalam menangani insiden ini tidak seharusnya terhad kepada aspek keselamatan fizikal semata-mata, malah kesejahteraan emosi, kesihatan mental, persekitaran sosial dan pembentukan disiplin dalam kalangan pelajar dengan penglibatan ibu bapa, pihak sekolah serta kaunselor,” katanya.
Azlan turut menegaskan bahawa keselamatan guru dan pelajar menjadi tanggungjawab bersama.
Justeru, kejadian seumpama ini tidak boleh berulang kerana mengancam keselamatan warga pendidikan sekali gus menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap instusi sekolah.
“AMK Sarawak akan terus menyokong usaha memperkukuh keselamatan sekolah, membina persekitaran pendidikan yang sihat serta memastikan kebajikan guru dan pelajar sentiasa diberikan perhatian sewajarnya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, insiden tersebut perlu dijadikan peringatan bahawa keselamatan warga sekolah mesti menjadi keutamaan dan tidak boleh dikompromi.
“Sekolah seharusnya menjadi tempat selamat untuk proses pembelajaran, pembentukan sahsiah dan perkembangan generasi muda, bukannya ruang yang mendedahkan guru serta pelajar kepada risiko keganasan,” tegasnya.
AMK Sarawak turut menzahirkan rasa simpati kepada guru yang cedera akibat insiden tersebut dan berharap beliau segera pulih sepenuhnya.