65 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan

Foto RTM

BENTONG, 21 Oktober – Seramai 65 warga asing ditahan hasil pemeriksaan ke atas 278 individu dalam Operasi Mega Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di 19 lokasi sekitar Janda Baik, di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penahanan dibuat bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tiada pas atau permit serta tiada pasport (Seksyen 6(1)(c)).
  • Kesalahan lain termasuk tinggal lebih masa (Seksyen 15(1)(c)) dan penyalahgunaan permit atau pas (Peraturan 39B).
  • Operasi menyasar resort, kebun dan tapak pembinaan di Kampung Cemeruh, Ceringin dan Sumsum; JPJ juga jalankan sekatan jalan.
  • Sejak 1 Januari hingga semalam, lebih 66,000 warga asing ditahan; lebih 45,000 telah dihantar pulang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, penahanan dibuat atas pelbagai kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Kesalahan yang ditemui antaranya tidak mempunyai sebarang pas atau permit untuk berada di negara ini, termasuk tidak mempunyai pasport, di bawah Seksyen 6(1)(c).

“Ada juga kesalahan tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c) serta penyalahgunaan permit atau pas di bawah Peraturan 39B,” katanya pada sidang media operasi itu, di sini.

Kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 54 tahun dan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Kemayan, Pahang untuk siasatan serta tindakan lanjut.

“Ada antara mereka yang telah berada di negara kita lebih daripada empat tahun, dan ada juga yang baru sampai,” katanya.

Jelas beliau lagi, operasi berkenaan melibatkan serbuan terhadap resort, kebun dan tapak pembinaan sekitar Kampung Cemeruh, Ceringin dan Sumsum.

Pelaksanaannya membabitkan JIM bersama-sama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Datuk Lokman turut memaklumkan, operasi itu dilaksanakan selepas risikan kira-kira seminggu bagi mengenal pasti lokasi tumpuan serta laluan yang berkemungkinan digunakan warga asing untuk melarikan diri.

Menurutnya, kepungan turut dibuat di beberapa lokasi, manakala JPJ melaksanakan sekatan jalan raya bagi menutup laluan keluar.

“Pihak penguat kuasa dan pegawai kita membuat kepungan berdasarkan lokasi yang dikenal pasti sebagai laluan yang berkemungkinan digunakan untuk melarikan diri.

“Kalau mereka melarikan diri sekalipun, mereka turut akan tertangkap. Hari ini, JPJ turut membuat sekatan dan ada warga asing yang ditangkap di tempat sekatan,” katanya.

Dalam operasi sama, pemilik premis turut diarahkan hadir ke bahagian siasatan JIM bagi membantu siasatan lanjut.

JPJ pula mengeluarkan 41 notis saman atas pelbagai kesalahan berkaitan jalan raya.

Orang ramai dan majikan diingatkan supaya tidak melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) atau memudahkan mereka menjalankan aktiviti yang melanggar undang-undang.

Mengulas penguatkuasaan di seluruh negara, beliau berkata, sejak 1 Januari lalu hingga semalam, jumlah keseluruhan warga asing yang ditahan melebihi 66,000 orang.

Lebih 41,000 daripadanya ditahan menerusi lebih 11,000 operasi dilaksanakan JIM, membabitkan pemeriksaan terhadap hampir 150,000 warga asing.

Selebihnya terdiri daripada warga asing yang diserahkan agensi lain serta ditahan di pintu masuk negara.

Daripada jumlah keseluruhan 66,000 yang ditahan, seramai lebih 45,000 telah dihantar pulang ke negara asal.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.