IHAA 2026: Abu Bakr ungguli dua acara, Intai peluang Olimpik Brisbane 2032

Foto RTM

SEPANG, 22 Oktober – Atlet muda memanah berkuda negara, Abu Bakr Muhamad Akmal mencuri tumpuan apabila muncul juara keseluruhan individu dalam Kejohanan Serantau Oceania IHAA 2026 yang berlangsung di Australia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengungguli dua acara, Raid 234 dan Tower 90, serta menduduki tempat kedua dalam Hunt Track pada penampilan sulungnya.
  • Kejayaan turut membantu pasukan negara menjuarai kategori berpasukan; beliau berterima kasih kepada penyumbang rakyat dan sokongan ibu bapanya.
  • Menetapkan sasaran beraksi di Olimpik Brisbane 2032 jika acara dipertandingkan; mencipta rekod baharu 159 mata di kejohanan.

Kejayaan itu sekaligus membantu pasukan negara meraih kejuaraan keseluruhan dalam kategori berpasukan.

Pemanah berusia 14 tahun itu menyifatkan kejayaan berkenaan lebih bermakna apabila beliau berjaya mengungguli dua acara, Raid 234 dan Tower 90, selain meraih tempat kedua dalam acara Hunt Track pada penampilan sulungnya dalam acara berkenaan.

“Dalam acara Raid 234, saya berjaya meraih gelaran juara dengan catatan markah tertinggi. Saya turut menjuarai acara Tower 90 dengan markah tertinggi, manakala dalam acara Hunt Track, saya menduduki tempat kedua meskipun itu merupakan penampilan pertama saya dalam acara berkenaan,” katanya.

Menurutnya, cabaran utama sepanjang pertandingan ialah keadaan cuaca yang tidak menentu, termasuk angin kencang, hujan dan perubahan suhu secara mendadak.

Dalam pada itu, Abu Bakr turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang memberikan sumbangan bagi membolehkan pasukan menyertai pertandingan berkenaan, selain ibu bapanya yang sentiasa memberikan sokongan.

Mengulas perancangan seterusnya, beliau menyasarkan untuk terus meningkatkan prestasi bagi merealisasikan impian beraksi di Sukan Olimpik Brisbane 2032, sekiranya sukan memanah berkuda dipertandingkan dan beliau berpeluang memenuhi kelayakan yang ditetapkan.

Beliau berharap kejayaan itu menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha mengharumkan nama Malaysia dalam sukan memanah berkuda di peringkat antarabangsa.

Pada kejohanan berkenaan beliau mencipta rekod baharu dengan meraih 159 mata dalam acara berkenaan sekali gus melakar pencapaian istimewa pada kejohanan berprestij itu yang berlangsung dari 16 hingga 18 Oktober lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.