IHAA 2026: Cuaca sejuk tidak halang skuad memanah berkuda raih juara

Foto RTM

SEPANG, 22 Oktober – Cuaca sejuk sehingga mencecah satu darjah Celsius antara cabaran utama yang perlu diharungi pasukan memanah berkuda Malaysia sebelum berjaya muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Serantau Oceania IHAA 2026 yang berlangsung di Australia pada 16 hingga 18 Oktober lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia dinobat juara keseluruhan IHAA 2026, pencapaian melebihi sasaran pasukan.
  • Pasukan berjaya atasi cabaran cuaca mencabar dan isu kesihatan melalui penyesuaian serta pengalaman jurulatih.
  • Abu Bakr juara keseluruhan kategori junior; Abdul Rahman raih emas Hunt Track dan naib juara senior.

Ketua Jurulatih pasukan, Muhammad Akmal Mohamad Dahlan memaklumkan keadaan cuaca yang mencabar selain faktor kesihatan atlet menuntut setiap anggota pasukan menyesuaikan diri sepanjang kejohanan.

“Cabaran terbesar semasa dalam pertandingan ini semestinya keadaan cuaca yang amat sejuk sekali kadang-kadang suhunya mencapai satu darjah celcius sahaja dan pada masa yang sama kita perlu sesuaikan dengan kesihatan, terutama anak-anak ini tetapi alhamdulillah berkat pengalaman menjadi jurulatih kita berjaya mengatasi semua masalah tersebut,” katanya.

Muhammad Akmal Mohamad Dahlan ditemui  selepas tiba di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terminal 2, awal pagi tadi.

Menurut beliau, kejayaan itu lebih bermakna apabila pencapaian atlet negara bukan sahaja memenuhi sasaran awal, malah melebihi jangkaan pasukan.

Malaysia turut mencatat keputusan membanggakan menerusi pencapaian atlet senior dan junior dalam beberapa acara yang dipertandingkan.

Dalam kategori senior, Abdul Rahman Abu Hanifah meraih pingat emas acara Hunt Track selain menduduki tempat kedua dalam acara Tower 90.

Bagi kategori junior, Abu Bakr muncul juara acara Raid 234 dengan catatan markah tertinggi, selain meraih emas dalam acara Tower 90 dan pingat perak dalam Hunt Track.

Kejayaan itu menyaksikan Abu Bakr dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori junior, manakala Abdul Rahman menduduki tempat kedua keseluruhan kategori senior.

“Pada kali ini kita telah menjadi juara keseluruhan dan membawa pulang banyak pingat emas dan alhamdulillah ia telah membuka mata banyak pihak tentang kehebatan dan ketangkasan anak-anak dalam sukan memanah berkuda alhamdulillah, ” katanya.

Dalam pada itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberikan sokongan bagi merealisasikan penyertaan pasukan dalam kejohanan berkenaan.

Beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil sokongan dan usaha bersama semua pihak dalam mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.