
KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Pengurus pasukan hoki lelaki negara Datuk Najmi Razak mahu skuad kebangsaan meneruskan momentum cemerlang muncul naib juara Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 di Punjab, India dari 27 Oktober hingga 5 November depan.
- Pemain diminta beraksi konsisten, kekalkan prestasi terbaik dan turun padang dengan penuh keyakinan.
- KHM mengekalkan barisan Sukan Asia; Norsyafiq dikecualikan akibat kecederaan, diganti Muhammad Adam Asyraf Johari.
- Enam negara bersaing termasuk India, Jepun, Korea Selatan, China dan Bangladesh; liga di Surjit Singh, penentuan di Balbir Singh.
Datuk Najmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berharap pemain menyahut cabaran Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal untuk mencipta kejutan menewaskan India di laman sendiri selain mempamerkan prestasi konsisten sepanjang kejohanan.
“Pencapaian sebagai naib juara Sukan Asia perlu menjadi pembakar semangat untuk kita meneruskan momentum kemenangan. Saya mahu pemain beraksi secara konsisten, mengekalkan prestasi terbaik dan turun padang dengan penuh keyakinan untuk menyahut cabaran menewaskan tuan rumah.
“Kita perlu membuktikan kemampuan Malaysia sebagai antara pasukan terbaik Asia dan menamatkan kejohanan ini pada kedudukan lebih baik berbanding edisi lepas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan itu, KHM mengumumkan akan mengekalkan barisan pemain pada Sukan Asia 2026, dengan Norsyafiq Sumantri menjadi pemain tunggal yang tidak menyertai kempen di Punjab akibat kecederaan biseps.
Kekosongan itu akan diisi oleh Muhammad Adam Asyraf Johari yang tidak disenaraikan dalam skuad Sukan Asia.
Enam negara, iaitu Malaysia, India, Jepun, Korea Selatan, China dan Bangladesh akan bersaing pada ACT edisi kali ini.
Perlawanan pusingan liga secara round robin akan berlangsung di Olympian Surjit Singh Hockey Stadium manakala perlawanan penentuan kedudukan dijadualkan di The Olympian Balbir Singh Senior International Hockey Stadium.
Malaysia akan membuka tirai kempen dengan menentang China pada 27 Oktober diikuti Korea Selatan (29 Oktober), Bangladesh (30 Oktober), India (1 November) dan Jepun (2 November) dalam saingan liga satu pusing.-BERNAMA