52,133 pemilik pikap, jip di Sabah lulus tambahan 100 liter BUDI Diesel

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong/Foto Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Seramai 52,133 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip di Sabah diluluskan kelayakan tambahan 100 liter diesel sebulan menerusi BUDI MADANI Diesel, setakat 12 Oktober lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan memperbaiki mekanisme BUDI Diesel mulai 16 September bagi membolehkan pemindahan kelayakan kepada pengguna lain.
  • Pemindahan hanya kepada warganegara ber MyKad, layak menerima BUDI95 dan pengguna sebenar kenderaan berkenaan.
  • Pemilik lebih daripada satu kenderaan boleh memindahkan kelayakan kepada maksimum tiga individu tertakluk semakan kelayakan.
  • Langkah ini bagi membantu perniagaan kecil, pengangkutan hasil pertanian dan perjalanan luar bandar, sambil memantau penggunaan untuk elak ketirisan.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, pemilik pikap dan jip diesel yang layak boleh menikmati kelayakan sehingga 400 liter sebulan berbanding kelayakan asas 300 liter.

“Kerajaan akan menambah baik mekanisme BUDI Diesel mulai 16 September ini dengan memperluas kemudahan pemindahan kelayakan kepada pengguna kenderaan diesel.

“Menerusi mekanisme itu, pemilik berdaftar boleh memindahkan kelayakan kepada warganegara yang mempunyai MyKad sah, layak menerima BUDI95 dan merupakan pengguna sebenar kenderaan berkenaan.

“Bagi individu yang memiliki lebih daripada sebuah kenderaan diesel, kelayakan subsidi juga boleh dipindahkan kepada maksimum tiga individu lain, tertakluk kepada jumlah kenderaan diesel yang dimiliki serta semakan kelayakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) mengenai jumlah pemilik pikap dan jip di Sabah yang menerima tambahan 100 liter BUDI Diesel.

Katanya, kemudahan itu diperkenalkan bagi membantu pemilik yang bergantung kepada kenderaan berkenaan untuk menjalankan perniagaan kecil, membawa hasil pertanian serta melakukan perjalanan ke kawasan luar bandar dan pedalaman.

Tambah beliau, sebanyak 19,008 permohonan pemindahan kelayakan BUDI Diesel diluluskan di seluruh negara setakat 12 Oktober lalu, dengan 5,555 permohonan daripadanya di Sabah.

“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel berdasarkan data penggunaan, maklum balas pengguna serta keperluan sektor terlibat bagi memastikan subsidi disalurkan secara bersasar dan mengelakkan ketirisan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.