
CYBERJAYA, 22 Oktober – Aplikasi navigasi tempatan, TuJu terus ditambah baik sebagai alternatif kepada platform navigasi asing, selaras dengan usaha kerajaan memperluas penggunaan teknologi tempatan serta memelihara kedaulatan data negara.
- LLM lancarkan TuJu 2.0 dengan fungsi baharu meningkatkan kemudahan pengguna.
- Ciri termasuk maklumat kenderaan elektrik, lokasi tarikan setempat, destinasi tetap dan pengesanan lokasi kenderaan parkir.
- Paparan CCTV langsung di lebuh raya dan butang SOS untuk menyalurkan maklumat kecemasan kepada konsesi lebuh raya.
- Data aplikasi diurus oleh LLM menggunakan Google Cloud; TuJu direkod lebih 700,000 muat turun; Android tersedia, iOS dijangka.
Dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), aplikasi itu kini dipertingkat menerusi TuJu 2.0 dengan beberapa fungsi baharu bagi meningkatkan kemudahan pengguna.
Antara ciri yang ditawarkan termasuk maklumat berkaitan kenderaan elektrik (EV), lokasi tarikan setempat, tetapan destinasi tetap serta fungsi mengesan lokasi kenderaan di kawasan parkir.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) LLM, Ir Dr Mohammed Ridzuan Jahidin berkata, TuJu turut dilengkapi ciri khusus termasuk paparan kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung di lebuh raya serta butang SOS bagi membantu pengguna ketika kecemasan.
“Antara perbezaan TuJu daripada aplikasi lain ialah paparan CCTV secara langsung. Pengguna boleh memilih CCTV di kawasan lebuh raya yang ingin dilalui untuk melihat keadaan trafik semasa.
“Kita juga menyediakan butang SOS. Sekiranya pengguna menghadapi masalah di lebuh raya, mereka boleh menekan butang berkenaan dan maklumat kecemasan akan disalurkan kepada konsesi lebuh raya yang terlibat.”
Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai isu keselamatan negara di Cyberjaya .
TuJu 2.0 kini tersedia untuk pengguna Android, manakala versi iOS dijangka dilancarkan pada penghujung bulan ini.
Dari aspek pengurusan data, pihak TuJu memaklumkan data aplikasi berkenaan berada di bawah pengurusan LLM, manakala perkhidmatan Google Cloud digunakan dalam pengendalian data berkenaan.
Aplikasi itu turut merekodkan lebih 700,000 muat turun susulan peningkatan minat pengguna terhadap platform navigasi tempatan.