
PUTRAJAYA, 29 November– Pelaksanaan Akademi Daie Muda YADIM 2026 merupakan usaha Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melahirkan generasi pendakwah muda yang kompeten dan berdaya saing.
- Program ini melengkapkan peserta dengan ilmu dan kemahiran untuk menyesuaikan pendekatan dakwah mengikut perkembangan zaman serta keperluan masyarakat.
- Akademi Daie Muda YADIM membentuk pendakwah yang berdaya saing dan mampu menghadapi kepelbagaian isu masyarakat.
- Program ini selaras dengan usaha dan prinsip MADANI yang dibawa oleh Perdana Menteri.
- Peserta turut didedahkan kepada pengucapan awam serta aspek rohani dan jasmani dalam persiapan menjadi pendakwah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, program itu bukan sahaja melengkapkan peserta dengan ilmu dan kemahiran, malah membentuk keupayaan menyesuaikan pendekatan dakwah mengikut perkembangan zaman dan keperluan masyarakat.
“Yang di usahakan ini sebenarnya dia bukan sahaja seiring dengan zaman, tetapi melangkau zaman sebenarnya kerana mereka dipersiapkan bukan sahaja dengan ilmu, bukan sahaja dengan kemahiran tetapi bagaimana mereka hendak beradaptasi dengan keperluan-keperluan masyarakat yang sangat pelbagai masalahnya, yang sangat pelbagai isunya.
“Ia selaras dengan usaha dan prinsip MADANI yang dibawa oleh Perdana Menteri,” katanya selepas merasmikan Pentas Akhir Akademi Daie Muda YADIM 2026, di sini.
Sementara itu, Juara Anugerah Perdana Daie Muda, Muhammad Luqman Mohd Zamri menyifatkan program berkenaan memberi banyak manfaat dalam mempersiapkan dirinya sebagai seorang pendakwah.
“Program ini sangat bagus dan sangat banyak program-program yang memberi manfaat kepada kami.
“Kami bukan sahaja didedahkan dengan pengucapan awam, tapi banyak juga dari segi aspek rohani dan juga jasmani, tak kiralah sebab seorang dai ini bukan sahaja terletak pada kecerdasan akal, tapi terletak juga pada kesihatan tubuh badan,” katanya.