KPDN perluas program PATUH ke 16 medan selera tahun depan

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara, Hidup Senator Datuk Dr Fuziah Salleh ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Parlimen hari ini / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang memperluas pelaksanaan program PATUH ke 16 medan selera tahun depan bagi meningkatkan pemantauan pematuhan peniaga, khususnya di lokasi tumpuan orang ramai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemilihan lokasi program berdasarkan kawasan tumpuan pengunjung serta cadangan wakil rakyat dan pejabat KPDN negeri.
  • PATUH merangkumi lima elemen utama: penandaan harga, alat timbang disahkan, transaksi telus, urus niaga adil dan harga tanpa pencatutan.
  • ZTPP dilaksanakan berperingkat dengan KPI menilai pematuhan peniaga, kebersihan premis serta penglibatan peniaga dalam promosi program.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pemilihan lokasi mengambil kira kawasan yang menjadi tumpuan pengunjung bagi memastikan pemantauan dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.

Menurut beliau, program PATUH ketika ini bukan sahaja tertumpu di kawasan pelancongan, malah turut melibatkan pasar dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

“Pemilihan zon untuk kita melaksanakan program pemantauan ini berdasarkan kawasan tumpuan atau tempat orang ramai berkumpul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad, yang meminta kementerian menetapkan petunjuk prestasi bagi menilai keberkesanan Program Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP) dalam mengurangkan aduan berkaitan harga keterlaluan.

Datuk Dr Fuziah turut menggalakkan wakil rakyat mengemukakan cadangan lokasi bersesuaian, termasuk medan selera, pasar, kawasan R&R dan tempat pelancongan, untuk dipertimbangkan kementerian.

Katanya, pemilihan lokasi turut mengambil kira saranan daripada pejabat KPDN negeri.

PATUH merangkumi lima elemen utama, iaitu penandaan harga barangan, penggunaan alat timbang dan sukat yang ditentusahkan, transaksi jualan yang jelas dan telus, urus niaga yang adil serta berintegriti, dan penetapan harga tanpa unsur pencatutan.

Sementara itu, ZTPP dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kawasan tumpuan pelancongan menawarkan urus niaga yang telus, pemaparan harga yang jelas serta perlindungan hak pengguna dan pelancong.

Bagi menilai keberkesanan program itu, KPDN menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang merangkumi pematuhan peniaga, kebersihan dan keceriaan premis serta penglibatan peniaga dalam promosi program.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.