Madrid desak keganasan di Gaza dihentikan

Penunjuk perasaan di Madrid melaungkan perkataan “pembunuh” dan “Netanyahu ke Mahkamah Jenayah”, selain membawa sepanduk yang menuntut konflik di Palestin dihentikan/ VIORY

MADRID, 19 Oktober – Penunjuk perasaan pro-Palestin di sini mendesak keganasan di Gaza dihentikan serta mengingatkan masyarakat dunia agar tidak melupakan penderitaan rakyat Palestin, lebih tiga tahun selepas perang tercetus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penunjuk perasaan melaungkan "pembunuh" dan tuntut Netanyahu dibawa ke Mahkamah Jenayah.
  • Tuntutan segera menghentikan konflik dan hormati hak, keselamatan serta masa depan rakyat Palestin.
  • Penganjur Parar la Guerra berhimpun di Plaza de Juan Goytisolo menuntut keamanan di Asia Barat.
  • Kebimbangan mengenai kira-kira 1,700 jasad Palestin yang disimpan dan ribuan keluarga masih menunggu maklumat, menurut ICRC.

Penunjuk perasaan mengibarkan bendera Palestin dan membawa plakad yang memaparkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di sebalik jeriji penjara.

Mereka turut melaungkan perkataan “pembunuh” dan “Netanyahu ke Mahkamah Jenayah”, selain membawa sepanduk yang menuntut konflik itu dihentikan.

Salah seorang penunjuk perasaan yang enggan dikenali berkata, hak rakyat Palestin mesti dituntut dan kekejaman perlu dihentikan segera.

“Palestin tidak boleh hilang daripada ingatan atau hati nurani kita, walaupun isu itu tidak lagi mendapat liputan berita. Tiada rakyat yang sepatutnya dihukum untuk hidup tanpa hak, keselamatan, masa depan dan harapan,” katanya.

Seorang lagi peserta demonstrasi yang ditemui berkata, masyarakat dunia tidak seharusnya membiarkan ketidakadilan sebagai sesuatu yang dianggap biasa sehingga pihak yang bertanggungjawab terlepas daripada hukuman.

Penunjuk perasaan turut membangkitkan kebimbangan mengenai ribuan rakyat Palestin yang dilaporkan hilang, dengan mendakwa rejim Zionis menyimpan jasad kira-kira 1,700 rakyat Palestin.

“Pihak berkuasa Israel mengakui menyimpan 1,700 jasad rakyat Palestin yang dibunuh. Kami yakin jumlah itu akan meningkat kerana sehingga kini, terdapat puluhan ribu rakyat Palestin yang masih hilang,” dakwanya.

Pada Ogos lalu, media Israel melaporkan bahawa negara itu menyimpan jasad kira-kira 1,700 rakyat Palestin, dengan memetik sumber yang mendakwa jasad berkenaan disimpan sebagai bahan tawar-menawar bagi kemungkinan rundingan pembebasan tebusan pada masa hadapan.

Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) memberi amaran bahawa ribuan keluarga di Gaza masih menunggu khabar mengenai ahli keluarga mereka yang hilang, tanpa kepastian sama ada mereka ditahan atau terkorban dan tertimbus di bawah runtuhan bangunan.

Perhimpunan itu dianjurkan Parar la Guerra di Plaza de Juan Goytisolo, Madrid, berhampiran Muzium Reina Sofia, sebagai tanda sokongan kepada Palestin.

Penganjur menuntut keamanan di Asia Barat, penghormatan terhadap hak rakyat Palestin serta penamatan keganasan di Gaza.

Gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa di Gaza pada 10 Oktober 2025, namun serangan udara dan tembakan Israel dilaporkan masih berterusan di seluruh wilayah itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 1,400 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata berkenaan bermula, manakala ribuan jasad masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan.- VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.