
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Malaysia menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan konflik di seluruh Asia Barat.
- Perdana Menteri berhubung rapat dengan pemimpin Teluk, termasuk Putera Mohammed bin Salman dan Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani.
- Malaysia menyeru keamanan dan keadilan untuk rakyat Palestin serta mengutuk genosid di Gaza dan pengeboman rambang di selatan Lubnan.
- Mengutuk serangan Houthi terhadap orang awam dan infrastruktur, termasuk serangan di Lapangan Terbang Raja Khalid yang menyebabkan kematian orang awam.
- Menegaskan kepentingan keselamatan laluan maritim, menuntut laluan selamat melalui Selat Hormuz serta sokongan terhadap usaha diplomatik meredakan ketegangan.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya berhubung secara rapat dengan pemimpin-pemimpin negara Teluk susulan konflik berkenaan.
“Saya berhubung rapat dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan pemimpin-pemimpin lain di seluruh rantau Teluk.
“Dengan semua perbincangan ini, mencerminkan betapa serius Malaysia memandang krisis semasa serta mendesak keperluan untuk menghalang konflik ini dari merebak dengan lebih meluas,” tegasnya menerusi hantaran di Facebook.
Pendirian Malaysia jelas bahawa kekal teguh dalam menyeru ke arah keamanan dan keadilan untuk rakyat Palestin, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan genosid di Gaza serta menentang pengeboman rambang di selatan Lubnan.
Datuk Seri Anwar menegaskan, prinsip yang sama perlu turut disuarakan dengan tegas apabila melibatkan serangan ke atas orang awam di lokasi lain.
“Malaysia menegaskan semula kecaman terhadap serangan kumpulan Houthi ke atas orang awam dan infrastruktur awam termasuk lapangan terbang serta kemudahan minyak dan tenaga sama ada Arab Saudi mahupun mana-mana negara anggota Majlis Kerjasama Teluk.
“Serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyad yang mengakibatkan kehilangan nyawa orang awam tidak berdosa termasuk para jemaah, merupakan satu peringatan sedih tentang kesan keganasan terhadap orang awam,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kebimbangan Malaysia ditujukan kepada pihak bertanggungjawab terhadap serangan-serangan terbabit, bukannya rakyat Yaman yang sekian lama menanggung penderitaan akibat konflik selain, berhak mendapatkan penyelesaian politik yang berkekalan.
Sementara itu, keselamatan laluan maritim di Asia Barat amat penting kepada Malaysia sebagai negara perdagangan.
“Sebagai sebuah negara perdagangan, kemakmuran Malaysia bergantung terhadap laluan maritim yang terbuka dan selamat.
“Saya berulang kali menekankan keperluan untuk memastikan laluan selamat bagi kapal awal dan komersial melalui Selat Hormuz,” ujarnya.
Datuk Seri Anwar turut menekankan, Malaysia akan terus menyokong usaha diplomatik untuk meredakan ketegangan krisis serta memelihara kebebasan pelayaran.