
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Malaysia berhasrat menjalin kerjasama dengan platform penstriman global Netflix bagi membangunkan industri pascaproduksi tempatan, sekali gus memperluas peluang penglibatan tenaga kerja negara dalam produksi bertaraf antarabangsa.
- Perbincangan menumpukan latihan profesional dan pembangunan kemahiran dalam bidang pascaproduksi.
- Netflix boleh jadi saluran alternatif untuk membawa karya Malaysia ke penonton global dan pasaran antarabangsa.
- Netflix bersetuju melawat Kuala Lumpur untuk meninjau pejabat FINAS serta meneruskan perbincangan kerjasama dan program latihan serantau.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menerusi satu kenyataan berkata, potensi kerjasama itu dibincangkan dalam pertemuan delegasi Malaysia dengan wakil Netflix di Jakarta, hari ini, termasuk aspek latihan profesional dan pembangunan kemahiran dalam bidang pascaproduksi.
“Malaysia mahu memperluas peranannya daripada lokasi penggambaran kepada penyedia perkhidmatan pascaproduksi, termasuk penyuntingan filem dan penggredan warna.
Usaha itu berpotensi memperkukuh kepakaran tempatan serta membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk terlibat dalam penerbitan kandungan bertaraf antarabangsa,” katanya.
Perbincangan turut menyentuh proses pemilihan kandungan Netflix bagi mengenal pasti peluang membawa filem, animasi dan harta intelek (IP) Malaysia ke pasaran antarabangsa.
Datuk Seri Fahmi berkata, platform penstriman itu boleh menjadi saluran alternatif untuk memperluas capaian karya tempatan kepada penonton global, selain pemasaran filem menerusi pawagam di luar negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Netflix bersetuju mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur bagi meninjau pejabat baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta meneruskan perbincangan mengenai potensi kerjasama.
Kerjasama FINAS dan Netflix juga diharap dapat membuka peluang penganjuran program latihan serantau di Malaysia bagi meningkatkan kemahiran serta kepakaran tenaga kerja tempatan.
Delegasi Malaysia turut disertai bakal Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Muzafar Shah Mustafa; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures, Zainol Haqim Zainol Rashid; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama, Mohd Shukri Ishak.
Datuk Seri Fahmi berada di Jakarta selepas menghadiri Minggu Teknologi Bali dan dijadual menghadiri Persidangan Dunia Mengenai Ekonomi Kreatif (WCCE) hingga Khamis.