Kebebasan berkarya tuntut tanggungjawab sosial

Adegan lakonan di ranjang pementasan teater dari sebuah sebuah universiti tempatan/ video orang awam

PUTRAJAYA, 17 April – Kebebasan berkarya dan berekspresi perlu disertai dengan rasa tanggungjawab sosial serta penghormatan terhadap norma masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • YADIM menganggap serius insiden adegan lakonan di ranjang dalam pementasan universiti yang mencetuskan reaksi masyarakat.
  • Insiden menonjolkan cabaran mengimbangi kebebasan seni dengan tanggungjawab moral dalam konteks agama, budaya dan adab ketimuran.
  • YADIM melancarkan Layar Dakwah YADIM untuk membina ekosistem seni berteraskan nilai Islam melalui pendidikan dan bimbingan.
  • Masyarakat perlu menilai hiburan dengan ilmu, adab dan tanggungjawab bersama demi landskap seni sihat dan bermaruah.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Datuk Dr. Hasan Bahrom dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius isu adegan lakonan di ranjang pementasan teater dari sebuah sebuah universiti tempatan sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

“Insiden itu bukan sekadar polemik seni, tetapi mencerminkan cabaran sebenar dalam mengimbangi antara kebebasan berkarya dengan tanggungjawab moral, khususnya dalam konteks sebuah negara yang berteraskan nilai agama, budaya dan adab ketimuran,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, YADIM juga komited untuk menyumbang secara membina melalui pendekatan bersifat mendidik menerusi inisiatif Layar Dakwah YADIM (LDY), untuk membangunkan satu ekosistem seni yang berteraskan nilai Islam dengan pendekatan dakwah kreatif.

“Inisiatif itu merupakan medan pembinaan bakat yang melatih dan membimbing pengkarya menghasilkan karya seni yang berkualiti, berpengaruh dan patuh syariah seperti filem pendek, forum, diskusi serta latihan industri sekali gus menyampaikan mesej Islam secara berhikmah, relevan dan menyentuh jiwa tanpa mengabaikan nilai estetika,” tambah kenyataan itu.

Masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam menilai setiap bentuk hiburan dengan kebijaksanaan, berlandaskan ilmu, adab dan tanggungjawab bersama demi memastikan landskap seni negara berkembang secara sihat, bermaruah serta selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.