8 maut termasuk 1 rakyat Malaysia, nahas helikopter di Kalimantan Barat

RINGKASAN BERITA AI
  • Helikopter Airbus milik Matthew Air Nusantara terputus hubungan kira-kira lima minit selepas berlepas di Kalimantan Barat.
  • Pasukan mencari dan menyelamat menemui lokasi nahas di hutan tebal dengan cerun curam; mangsa disahkan meninggal dunia.
  • Mayat mangsa dibawa ke ibu kota wilayah Pontianak untuk proses pengesahan dan siasatan.
  • Indonesia bergantung pada pengangkutan udara antara pulau dan mencatat beberapa kemalangan penerbangan serius baru-baru ini.

JAKARTA, 17 April – Dua kru dan enam penumpang maut selepas sebuah helikopter persendirian terhempas di kawasan hutan tebal di Pulau Borneo, Indonesia, menurut Kementerian Pengangkutan Indonesia pada Jumaat.

Helikopter jenis Airbus milik syarikat tempatan Matthew Air Nusantara itu dilaporkan terputus hubungan dengan kawalan trafik udara kira-kira lima minit selepas berlepas di wilayah Kalimantan Barat pada pagi Khamis.

Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Lukman F. Laisa dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua lapan individu di dalam helikopter tersebut adalah lelaki, termasuk seorang warga Malaysia.

“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah berjaya mengesan lokasi nahas pesawat dan berdasarkan maklumat di lapangan, semua penumpang serta kru disahkan meninggal dunia,” katanya.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat, I Made Junetra berkata, pasukan penyelamat menemui mangsa pada petang Khamis di kawasan hutan tebal yang mempunyai cerun yang curam.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke ibu kota wilayah Pontianak.

Indonesia, sebuah negara kepulauan terbesar di Asia Tenggara, bergantung kepada pengangkutan udara bagi menghubungkan ribuan pulaunya.

Negara itu juga mempunyai rekod keselamatan penerbangan yang kurang baik, dengan beberapa kemalangan maut dilaporkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada Januari lalu, sebuah pesawat terhempas di kawasan pergunungan di Pulau Sulawesi, mengorbankan kesemua 10 individu.

Pada September tahun lalu pula, sebuah helikopter yang membawa enam penumpang dan dua kru terhempas di wilayah Kalimantan Selatan, turut mengorbankan semua yang berada di dalam pesawat.

Dua minggu kemudian, empat lagi maut apabila sebuah helikopter terhempas di daerah pedalaman Ilaga, Papua.-AFP