Piala Uber 2026: Chong Jie Yu ganti Pearly Tan

Chong Jie Yu./FB Badminton Association of Malaysia

KUALA LUMPUR, 17 April – Pemain beregu wanita negara Chong Jie Yu akan menggantikan Pearly Tan bagi menghadapi saingan Piala Uber 2026 di Horsens, Denmark, dari 24 April hingga 3 Mei.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pearly menarik diri kerana kecederaan belakang berulang; menyatakan kekecewaan dan memohon maaf.
  • BAM mengesahkan perkara itu melalui hantaran Facebook selepas pengumuman menarik diri Pearly.
  • Jie Yu, 21, disenaraikan dan akan menyertai kem latihan pasukan di Herning, Denmark sebagai persediaan.
  • Skuad turut memuatkan beregu muda Ong Xin Yee-Carmen, Carmen Ting, Low Zi Yu, Noraqilah; perseorangan Letshanaa, Wong, Siti Zulaikha, Goh Jin Wei; diundi Kumpulan B.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan perkara itu menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, selepas Pearly yang merupakan pasangan nombor satu Malaysia bersama M. Thinaah mengumumkan menarik diri daripada skuad Piala Uber semalam akibat kecederaan belakang berulang.

“BAM mengesahkan Jie Yu, 21, telah disenaraikan untuk menggantikan Pearly dalam skuad kebangsaan bagi Piala Uber 2026.

“Jie Yu akan menyertai kem latihan pasukan di Herning, Denmark dalam persiapan bagi menghadapi kejohanan akan datang,” katanya.

Dalam kenyataan di laman Facebook semalam, Pearly meluahkan rasa kecewa serta memohon maaf kerana tidak dapat menyertai skuad negara dalam kejohanan berpasukan berprestij tersebut.

Beregu lain yang akan beraksi di Piala Uber 2026 ialah gandingan muda Ong Xin Yee-Carmen Ting dan Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah, manakala K. Letshanaa, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi dan Goh Jin Wei dipilih untuk menggalas cabaran dalam acara perseorangan.

Skuad wanita negara diundi dalam Kumpulan B Piala Uber bersama Jepun, Turkiye dan Afrika Selatan.

Jie Yu sebelum ini beraksi dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China bersama pasangannya Vanessa Ng, namun tewas kepada Xin Yee-Carmen 9-21, 14-21 pada pusingan awal. – BERNAMA