
KUALA LUMPUR, 17 April – Atlet lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan, menetapkan sasaran peribadi untuk mencatatkan lontaran sejauh 19 meter (m) bagi memastikan beliau mampu bersaing secara kompetitif di peringkat antarabangsa, tahun ini.
- Menetapkan sasaran lontaran 19 meter tahun ini untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
- Sasaran utama bagi memburu kelayakan merit ke Sukan Asia Aichi-Nagoya September dan Sukan Komanwel 2026.
- Melihat Terbuka Taiwan dan Kejohanan Balingan Asia di Mokpo sebagai platform mengumpul mata dan uji kesiapan mental.
- Dijadual berlepas ke Mokpo awal Mei, kemudian menyertai Terbuka Taiwan pada Jun bagi cabaran kelayakan.
Sasaran tersebut diletakkan sebagai misi utama beliau bagi memburu merit kelayakan ke Sukan Asia Aichi-Nagoya yang dijadualkan berlangsung pada September depan, selain Sukan Komanwel 2026.
Pemegang rekod kebangsaan itu menyifatkan dua kejohanan antarabangsa iaitu Terbuka Taiwan dan Kejohanan Balingan Asia di Mokpo City, Korea Selatan sebagai platform terbaik untuk mengumpul mata serta menguji tahap persediaan mentalnya.
“Persiapan saya kini tertumpu sepenuhnya untuk melayakkan diri ke Sukan Asia. Saya mahu cuba memecahkan rekod kebangsaan sendiri dan jika boleh, mencecah sasaran 19 meter,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Sukan Universiti Malaya 2026 di sini.
Menurut Jonah, berdasarkan analisis kedudukan ranking dunia, jarak 19m tersebut mampu meletakkan beliau sebagai antara pencabar utama untuk slot peringkat akhir di kejohanan besar.
“Melihat kepada ranking dunia bagi Sukan Komanwel dan Sukan Asia, saya yakin mampu melangkah ke pusingan akhir.
“Sasaran saya sekarang adalah melepasi 19 meter untuk layak secara merit atau sekurang-kurangnya berada dalam kedudukan terbaik kelayakan,” katanya.
Jonah dijadualkan berlepas ke Korea Selatan bagi menyertai Kejohanan Balingan Mokpo pada awal Mei depan, sebelum meneruskan cabaran di Terbuka Taiwan pada Jun.