
KUALA LUMPUR, 17 April – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz, menegaskan bahawa cabaran menentang kelab gergasi Arab Saudi, Al-Ahli, menuntut lebih daripada sekadar percaturan taktikal, sebaliknya memerlukan kekuatan mental yang tinggi.
- Perlukan persaingan intensif dari minit pertama hingga wisel penamat.
- Anggap perlawanan ini sebagai satu perlawanan akhir, beri aksi terbaik setiap detik.
- Bentuk keyakinan psikologi dan jangan gentar dengan reputasi Al-Ahli di hadapan penyokong lawan.
- Semangat kekeluargaan dan keakraban pasukan jadi pemangkin dalam usaha ke separuh akhir.
Beliau berkata, barisan pemain Harimau Selatan perlu memiliki keupayaan untuk bersaing secara intensif dari minit pertama hingga ke tiupan wisel penamat dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium King Abdullah Sports City, malam ini.
Bagi Munoz, perlawanan tersebut bukan sekadar aksi kalah mati biasa, sebaliknya dianggap sebagai satu “perlawanan akhir” buat skuad kendaliannya yang kini berada pada tahap momentum terbaik.
“Bagi kami, perlawanan hari ini bukan sekadar suku akhir, tetapi adalah satu perlawanan akhir. Amat penting untuk kita memberikan aksi terbaik dalam setiap detik perlawanan. Inilah masanya untuk kita membuktikan keupayaan pasukan,” katanya.
Menyedari reputasi lawan sebagai antara pasukan berkualiti tinggi di Asia, Munoz percaya peningkatan prestasi semasa pasukannya mampu menjadi sandaran utama untuk mencipta kejutan di gelanggang lawan.
Beliau turut menekankan aspek psikologi bagi membina keyakinan pemain apabila berdepan pasukan yang lebih ternama di hadapan ribuan penyokong lawan.
“Mentaliti untuk perlawanan ini adalah pemain perlu sedar bahawa walaupun kita dianggap pasukan kerdil, kita mampu menumbangkan pasukan gergasi. Perkara paling penting adalah kita tahu bagaimana untuk melakukannya,” jelas beliau.
Munoz turut mengingatkan pemain agar tidak gentar dengan reputasi besar Al-Ahli, sebaliknya menjadikan semangat juang dan keakraban pasukan yang diibaratkan seperti sebuah keluarga sebagai pemangkin kemenangan.
Aksi sengit malam ini bukan sahaja bakal menguji aspek taktikal dan teknikal, malah menjadi medan ujian ketahanan mental JDT dalam misi memburu slot bersejarah ke peringkat separuh akhir.