Jerung ramal Brazil tewaskan Maghribi aksi pembukaan Piala Dunia

Seekor jerung ‘Ritinha’, meramalkan kemenangan Brazil semasa perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang Maghribi di Akuarium Rio de Janeiro, Brazil / foto REUTERS

RIO DE JANEIRO, 4 Jun – Seekor jerung betina bernama Ritinha menjadi tumpuan di Rio de Janeiro apabila meramalkan kemenangan Brazil ke atas Maghribi dalam aksi pembukaan Piala Dunia FIFA 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aktiviti di AquaRio meneruskan tradisi haiwan 'peramal' pada kejohanan sukan utama.
  • Presiden AquaRio Marcelo Szpilman berkata memilih jerung untuk meningkatkan kesedaran pemuliharaan dan menentang tanggapan negatif terhadap spesies itu.
  • Sebuah patung lilin Pele dirasmikan di Muzium Dreamland, dihasilkan di London lebih dua tahun, sebahagian galeri Piala Dunia 2026.

Dalam acara yang berlangsung di Akuarium AquaRio pada Rabu, Ritinha memilih bekas makanan yang dilabelkan dengan nama Brazil berbanding Maghribi di hadapan pengunjung yang hadir menyaksikan demonstrasi tersebut.

Aktiviti berkenaan meneruskan tradisi haiwan ‘peramal’ yang sering dikaitkan dengan kejohanan sukan utama di seluruh dunia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AquaRio, Marcelo Szpilman berkata, pemilihan jerung sebagai ‘peramal’ bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan spesies itu.

Menurutnya, jerung sering dikaitkan dengan persepsi negatif, sedangkan haiwan tersebut memainkan peranan penting dalam ekosistem marin.

“Kami memilih jerung kerana haiwan ini perlu dipelihara dan masih berdepan pelbagai tanggapan negatif. Aktiviti seperti ini mampu menarik minat orang ramai sambil meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan jerung,” katanya.

Brazil akan memulakan kempen Piala Dunia menentang Maghribi dalam usaha memburu gelaran dunia keenam dan pertama di laman sendiri sejak kejohanan itu diperkenalkan.

Sementara itu, sebuah patung lilin legenda bola sepak Brazil, Pele, turut dilancarkan di Muzium Patung Lilin Dreamland, Rio de Janeiro.

Patung memperingati legenda bola sepak Brazil, Pele, dirasmikan di Akuarium Rio de Janeiro, Brazil, 3 Jun 2026 / foto REUTERS

Patung tersebut dihasilkan oleh sebuah studio khas di London dalam tempoh lebih dua tahun dan menjadi sebahagian daripada galeri khas bersempena Piala Dunia 2026.

Pelakon Lucas Agricola yang melakonkan watak Pele dalam siri mini Brazil 70: The Saga of the Third Title turut hadir pada majlis pelancaran patung lilin berkenaan. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.