Piala Dunia Sepak Takraw:Malaysia waspada ancaman India, Korea Selatan

Ketua jurulatih skuad sepak takraw kebangsaan, Ahmad Jais Baharun./foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 April – Ketua jurulatih skuad sepak takraw kebangsaan, Ahmad Jais Baharun, mengingatkan barisan pemain agar tidak memandang ringan cabaran dalam acara kuadran pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang dijadualkan berlangsung di sini, bulan depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kumpulan C sangat mencabar dengan India, Korea Selatan dan Singapura sebagai pesaing utama.
  • India dan Korea Selatan beri fokus utama pada acara kuadran; Malaysia perlu strategi dan persiapan rapi.
  • Keputusan Nagoya dan perlawanan tie-break menunjukkan Malaysia mesti berlatih lebih keras untuk perbaiki prestasi.

Amaran itu hadir selepas Malaysia diundi dalam Kumpulan C yang dianggap mencabar bersama-sama pasukan India, Korea Selatan dan Singapura.

Ahmad Jais menegaskan bahawa Korea Selatan dan India merupakan antara kuasa besar yang memberikan penekanan khusus terhadap acara kuadran, sekali gus menuntut persiapan yang lebih rapi daripada skuad negara.

“Dari segi undian, Kumpulan C sangat mencabar kerana kita tahu Korea Selatan dan India memang memberikan fokus utama kepada acara kuadran. Kita juga tidak boleh memperlekehkan keupayaan Singapura kerana mana-mana pasukan mampu memberikan tentangan sengit.

“Kita akan merangka strategi untuk memberikan saingan hebat kepada Korea Selatan dan India, memandangkan acara kuadran memerlukan kekuatan yang lebih dominan daripada aspek pertahanan dan serangan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan keputusan pada Kejohanan Sepak Takraw Asia di Nagoya, Jepun, Februari lalu sebagai indikator tahap persaingan sengit yang bakal dihadapi.

Dalam kejohanan di Nagoya tersebut, India mengejutkan ramai pihak apabila merangkul pingat emas acara kuadran, manakala Jepun membawa pulang perak dan Malaysia sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa.

“Semasa kejohanan di Nagoya, kita tewas kepada India dalam saingan kumpulan menerusi set penentuan (tie-break). Kita menang ke atas Korea Selatan juga melalui tie-break.

“Ini merupakan isyarat jelas kepada pasukan supaya bekerja dan berlatih lebih keras bagi memperbaiki prestasi supaya kita dapat mempamerkan aksi yang lebih meyakinkan berbanding di Nagoya,” tambah beliau lagi.

Meskipun tumpuan utama sering terarah kepada acara regu dan regu berpasukan, Malaysia tetap memberikan perhatian serius terhadap acara kuadran yang julung kali dipertandingkan pada edisi Piala Dunia kali ini.

Acara kuadran, yang mula diperkenalkan pada Sukan Asia 2018 di Indonesia, memerlukan empat pemain beraksi di dalam gelanggang.

Format tersebut menjadikan permainan lebih dinamik dan kompleks dari segi taktikal, terutama dalam mengimbangi pertahanan dan serangan di kawasan yang lebih luas.

Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 bakal menggegarkan Stadium Titiwangsa bermula 16 hingga 23 Mei ini. – BERNAMA