
KUALA LUMPUR, 17 April – Bekas ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, menggesa Terengganu FC (TFC) agar mengamalkan perbelanjaan yang berhemat dan realistik sebagai langkah terbaik untuk kekal bersaing dalam Liga Super musim depan.
- Irfan Bakti menggesa TFC berbelanja berhemat dan realistik untuk kekal kompetitif dalam Liga Super musim depan.
- Beliau menekankan prinsip ukur baju di badan sendiri bagi elak langkah sesetengah pasukan berbelanja melebihi kemampuan.
- Pengurusan kewangan terkawal boleh elak hutang jangka panjang dan membolehkan penstrukturan semula terancang untuk memulihkan kelab.
Irfan Bakti menegaskan bahawa prinsip “ukur baju di badan sendiri” perlu menjadi keutamaan pengurusan, terutama ketika timbul spekulasi mengenai kemungkinan skuad Penyu itu beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro susulan kekangan kewangan.
Beliau, yang pernah membimbing Terengganu menjulang Piala FA 2011 serta muncul naib juara Piala Malaysia 2011 dan 2018, turut menzahirkan rasa kecewa terhadap perkembangan tersebut.
“Sudah tentu saya sangat kecewa apabila mendengar berita ini. Terengganu FC merupakan antara pasukan elit dalam bola sepak negara, jadi persoalan timbul mengapa perlu turun beraksi di liga semi-pro?
“Saya masih berharap keputusan itu boleh dinilai semula dan TFC kekal dalam Liga Super dengan pendekatan lebih berhemat, tanpa mengikut langkah sesetengah pasukan yang berbelanja di luar kemampuan,” katanya.
Jurulatih berpengalaman luas dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) itu berkata, pengurusan kewangan yang lebih terkawal bukan sahaja mampu memastikan kelangsungan kelab, malah dapat mengelakkan bebanan hutang jangka panjang yang menjejaskan kestabilan pasukan.
Beliau turut berpandangan bahawa situasi kewangan TFC tidak seteruk sesetengah kelab lain, sekali gus memberi ruang kepada pasukan itu untuk melaksanakan penstrukturan semula secara lebih tersusun.
Semalam, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim, memaklumkan bahawa pihaknya tidak menolak kemungkinan TFC akan beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro musim depan akibat kekangan kewangan yang membelenggu pasukan.
Hishamuddin menyamakan krisis yang dihadapi itu seperti “penyakit kronik” yang memerlukan rawatan serta pengurusan rapi untuk dipulihkan sepenuhnya.
TFC kini berada di tangga kelima Liga Super 2025/2026 dengan mengumpul 32 mata selepas mengharungi 20 perlawanan, berbaki empat lagi aksi sebelum tirai musim ini dilabuhkan.- BERNAMA