PM Anwar: Grid Kuasa ASEAN pacu masa depan tenaga mampan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto fail PMO

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Kemajuan Grid Kuasa ASEAN menuntut pendekatan lebih menyeluruh dalam mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga bersih dan mampan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peralihan tenaga mesti memastikan daya tahan, kemampuan kos dan keselamatan tenaga, tegas Perdana Menteri.
  • Peralihan memerlukan inovasi teknologi serta keputusan dasar, pelaburan dan kerjasama serantau yang sukar.
  • Pelaksanaan MoU Dipertingkat Grid Kuasa ASEAN jadi fokus utama perbincangan Sidang Kemuncak ASEAN di Cebu.
  • Tenaga hidro boleh baharu Laos mula disalurkan melalui Thailand dan Malaysia ke Singapura, bukti perdagangan elektrik rentas sempadan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu perlu dilakukan tanpa mengabaikan aspek daya tahan, kemampuan kos dan keselamatan tenaga.

“Namun, kemajuan ini juga menuntut kita menjawab persoalan yang lebih besar iaitu bagaimana mempercepatkan peralihan sebagai negara, ekonomi dan masyarakat ke arah sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan, sambil memastikan daya tahan, kemampuan dan keselamatan tenaga terus terpelihara.

“Jawapannya memerlukan bukan sahaja inovasi teknologi, tetapi juga keputusan sukar berkaitan dasar, pelaburan dan kerjasama serantau,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) Dipertingkat Grid Kuasa ASEAN terus menjadi antara fokus utama yang dibincangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN di Cebu, Filipina baru-baru ini.

Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan komitmen negara anggota dalam memperkukuh integrasi tenaga serantau bagi menyokong agenda peralihan tenaga yang lebih mampan.

Menurutnya, usaha tersebut telah menunjukkan hasil apabila tenaga hidro boleh baharu yang dijana di Laos mula disalurkan melalui Thailand dan Malaysia ke Singapura sejak 2022.

Katanya, inisiatif itu mewujudkan perdagangan elektrik rentas sempadan pelbagai hala pertama di Asia Tenggara dan menjadi bukti kemampuan ASEAN melaksanakan kerjasama tenaga serantau secara berkesan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.