BN muktamad senarai calon Johor dalam masa terdekat

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA, 4 Jun – Barisan Nasional (BN) akan memuktamadkan senarai calon yang bakal bertanding bagi 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam tempoh terdekat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nama calon akan diumumkan seminggu sebelum hari penamaan calon.
  • Pengumuman awal memberi ruang untuk menyelesaikan sebarang isu lebih awal.
  • BN akan menampilkan gabungan pemegang jawatan sedia ada dan muka baharu.
  • Tarikh penamaan, pengundian awal dan hari pengundian akan ditetapkan oleh SPR.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata nama calon yang dipilih akan diumumkan seminggu sebelum hari penamaan calon.

Beliau berkata langkah itu bagi memberi ruang untuk menyelesaikan sebarang isu yang mungkin timbul lebih awal.

“Saya akan memuktamadkan senarai calon BN untuk 56 kerusi DUN dalam tempoh paling singkat.

“Kita akan umumkan nama calon itu, insya-Allah seminggu sebelum hari penamaan calon,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulan Mei Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata BN akan menampilkan gabungan pemegang jawatan sedia ada dan muka baharu dalam senarai calon kali ini.

“Kombinasi akan kita lakukan antara pemegang jawatan yang ada dan juga muka-muka baharu.

“Kali ini muka-muka baharu akan turut mewarnai bakal kepimpinan baharu negeri Johor,” katanya.

Tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam mesyuarat khas yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.