
KLANG, 17 April – Lebih 6,000 unit teks dan bahan al-Quran telah disita menerusi Operasi Mulia (Op Mulia) bagi tempoh Januari hingga 31 Mac lalu.
- 44 kertas siasatan dibuka bagi tindakan lanjut terhadap pelanggaran teks al-Quran.
- 1758 premis diperiksa dan penguatkuasaan bernilai RM378,171.92; rampasan dibuat terhadap bahan tidak mematuhi undang-undang.
- KDN menegaskan pengeluar mesti patuhi semakan dan kelulusan serta kementerian komited memperkukuh penguatkuasaan dan kawal selia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata menerusi sitaan tersebut sebanyak 44 kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan lanjut.
Sitaan dilaksana apabila terdapat naskhah atau mushaf al-Quran yang mempunyai kesilapan serta tidak mematuhi piawaian yang telah ditetapkan.
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2026, sebanyak 1758 premis telah diperiksa dengan nilai penguatkuasaan berjumlah RM378,171.92. Hasil operasi tersebut sebanyak 6,620 unit teks dan bahan al-Quran telah disita kerana melanggar kepatuhan peruntukan undang-undang serta Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.
“Inisiatif ini juga adalah bagi menggalakkan orang ramai supaya memiliki mushaf al-Quran yang menepati kepatuhan piawaian oleh pihak berkuasa,” katanya.
Manakala bagi tahun 2025, sembilan kertas siasatan telah dibuka dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2.7 juta.
Beliau turut menekankan perkembangan teknologi yang memperlihatkan kepelbagaian bentuk penyampaian al-Quran termasuk versi audio dan digital sama sekali tidak memberi ruang kepada mana-mana pengeluar untuk mengabaikan proses semakan dan kelulusan pihak berkuasa.
Sebaliknya, semua pengeluar diwajibkan mematuhi prosedur yang ditetapkan.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan sentiasa komited dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan kawal selia berterusan bagi memastikan kemaslahatan umat Islam di negara ini sentiasa terpelihara,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Pemurnian Al-Quran di sini hari ini.
Program tersebut melibatkan pelepasan bongkah abu al-Quran seberat 1.5 tan ke laut melibatkan sebanyak 8,672 teks dan bahan al-Quran dengan anggaran nilai keseluruhan RM2.7 juta.
Pelaksanaan dilakukan pada jarak 13 batu nautika dari daratan dengan kedalaman sekitar 10 meter, selaras garis panduan pelupusan yang telah ditetapkan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Auran (LPPPQ) KDN.