
PUTRAJAYA, 17 Jun – Perpaduan dan persaudaraan dalam Islam perlu terus diperkukuh khususnya dalam menghadapi cabaran semasa, termasuk impak krisis tenaga global yang turut dirasai Malaysia.
- Seru umat Islam merapatkan saf, menyatukan ummah dan mengetepikan perselisihan.
- Hijrah sebagai proses berterusan membuang kemungkaran, membina akhlak untuk memperkukuh perpaduan dan menangani pergeseran.
- Malaysia mesti memupuk kepelbagaian dalam bingkai kesatuan, mencontohi Sahifah Madinah demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menyeru umat Islam untuk merapatkan saf, menumpukan kepada usaha menyatukan ummah dan mengetepikan perselisihan.
Beliau berkata kesatuan ummah berupaya meningkatkan limpahan rahmat, manakala perpecahan dan keretakan hubungan hanya mengundang bencana serta melemahkan perpaduan ummah.
“Dimensi penting kepada konsep hijrah, bahawa ia adalah proses berterusan meninggalkan segala bentuk kemungkaran sama ada dari sudut lisan, perbuatan badan mahupun penyakit hati, serta membina akhlak yang menyumbang kepada perpaduan dalam kalangan umat Islam dan menangani pergeseran dan perbalahan yang sering timbul.
“Hanya apabila aspek perpaduan umat ini telah berjaya dipertingkatkan, barulah agenda memartabatkan syiar Islam itu mampu digerakkan dengan lebih berkesan,” katanya.
Dr Zulkifli berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Maal Hijrah 1448 Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya.
Beliau juga berharap agar masyarakat Malaysia secara keseluruhan untuk terus memberi sokongan terhadap usaha mengangkat martabat ummah bagi memastikan syiar Islam terus berkembang di Malaysia.
Jelasnya, Malaysia sebagai sebuah negara majmuk perlu terus memupuk kebersamaaan dalam kepelbagaian ke arah menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara.
“Menginsafi takdir kepelbagaian yang melatari demografi negara kita, suka atau tidak, Malaysia ialah sebuah negara majmuk.
“Justeru, sudah tentu Sahifah Madinah yang digagaskan oleh Rasulullah SAW selepas peristiwa hijrah merupakan contoh agung pembinaan sebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kabilah dan agama, namun dihimpun dalam satu kesatuan yang berteraskan keadilan, tanggungjawab bersama dan kesetiaan kepada negara.
“Dalam konteks Malaysia, semangat ini diistilahkan sebagai kepelbagaian dalam bingkai kesatuan,” katanya.