AKPS bakal dilengkapkan dengan keperluan persenjataan

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/ BERNAMA

KLANG, 17 April – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bakal dilengkapkan dengan keperluan persenjataan bagi memperkukuh aspek keselamatan anggotanya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Proses perolehan kini pada fasa awal dan dijangka dilaksanakan sebelum hujung tahun ini.
  • Cadangan disokong Jemaah Menteri susulan insiden tembakan melibatkan Komander AKPS di Bukit Kayu Hitam pada Februari.
  • Jenis persenjataan masih diperhalusi, termasuk senjata renjatan elektrik seperti taser dan senjata ringan seperti pistol.
  • Ketua Setiausaha akan memperincikan garis masa, menteri tekankan pelaksanaan segera kerana tugasan AKPS sangat berisiko.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses perolehan kini berada pada fasa awal dan dijangka dilaksanakan sebelum hujung tahun ini.

Cadangan itu telah dipersetujui dalam mesyuarat mingguan Jemaah Menteri susulan insiden tembakan melibatkan Komander AKPS di Bukit Kayu Hitam pada Februari lalu.

“Keperluan persenjataan itu telah dipersetujui, cuma jenisnya sahaja yang masih diperhalusi. Senjata ini mempunyai pelbagai bentuk, termasuk senjata renjatan elektrik atau senjata ringan seperti pistol.

“Dari segi garis masa dan fasa pelaksanaan, sama ada kita mahu melengkapkan mereka dengan taser gun terlebih dahulu, senjata renjatan elektrik, atau secara serentak, perkara itu akan diperincikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar.

“Yang penting, kita bersetuju bahawa AKPS perlu dilengkapi keperluan persenjataan dalam tahun ini. Saya telah memaklumkan kepada KSU bahawa perkara ini tidak boleh dilengah-lengahkan kerana tugasan AKPS amat berisiko dan berdepan pelbagai ancaman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Program Pemurnian al-Quran Kementerian Dalam Negeri di Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah, di sini, hari ini.