
- Sentiasa bersiap sedia menghadapi gangguan, kelewatan atau perubahan jadual penerbangan semasa urusan perjalanan.
- Pengumuman gencatan senjata dua minggu sejak 8 April membawa perkembangan positif termasuk pembukaan semula ruang udara dan penerbangan terhad.
- Rakyat dan jemaah haji digalakkan mendaftar keberadaan dan mengemas kini maklumat melalui portal e-Konsular.
- Kerajaan kekal memantau situasi Asia Barat dan komited mengemas kini nasihat perjalanan demi keselamatan rakyat di luar negara.
PUTRAJAYA, 17 April – Rakyat Malaysia di negara terjejas akibat konflik di Asia Barat dinasihat supaya sentiasa meningkatkan tahap kewaspadaan, dan mengelakkan kawasan aktiviti ketenteraan serta perhimpunan awam, selain mematuhi sepenuhnya arahan pihak berkuasa tempatan.
Mereka juga diingatkan agar sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan gangguan, kelewatan, atau perubahan jadual penerbangan dalam urusan perjalanan mereka.
Kenyataan itu dikeluarkan Wisma Putra menerusi nasihat perjalanan yang dikemas kini bagi kawasan konflik di Asia Barat.
Menurut kenyataan itu, pengumuman gencatan senjata dua minggu yang berkuat kuasa sejak 8 April lalu telah membawa kepada perkembangan positif secara berperingkat di rantau Asia Barat, termasuk pembukaan semula ruang udara dan operasi penerbangan secraa terhad.
“Kementerian turut menggalakkan rakyat, termasuk jemaah haji, untuk mendaftar keberadaan serta mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular. Langkah ini penting bagi memudahkan penyaluran bantuan konsular sekiranya berlaku kecemasan, selain memuat turun aplikasi MyWorldAlert untuk maklumat terkini situasi semasa,” menurut kenyataan itu.
Malaysia kekal meletakkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan tertinggi melalui pemantauan rapi situasi di Asia Barat, serta komited mengemas kini nasihat perjalanan dari semasa ke semasa bagi memastikan kepentingan warganegara di luar negara sentiasa terpelihara.