Sepanyol lapor kes disyaki hantavirus dikaitkan dengan kapal persiaran

Foto Reuters

MADRID, 9 Mei – Setiausaha Negara bagi Kesihatan Sepanyol, Javier Padilla pada Jumaat berkata, pihak berkuasa kesihatan telah mengesan satu kes disyaki hantavirus di bandar Alicante di timur negara itu dan telah mengambil langkah sewajarnya, lapor Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Individu itu menaiki pelayaran sama beberapa minggu lalu dengan seorang yang dijangkiti, kini gejala sepadan sedang dinilai untuk pengesahan.
  • 14 penumpang warga Sepanyol di MV Hondius bersetuju menjalani kuarantin sukarela untuk meminimumkan risiko penularan.
  • Kapal ekspedisi itu dikaitkan dengan tiga kematian, pasukan Kementerian Kesihatan berlepas ke Tenerife dan penumpang akan dipindahkan di bawah pengasingan ketat.

Individu berkenaan dilaporkan melakukan perjalanan beberapa minggu lalu dengan pelayaran yang sama seperti seorang daripada individu yang dijangkiti, kata Padilla.

Beliau menambah individu itu menunjukkan gejala yang sepadan dengan jangkitan hantavirus, namun pihak berkuasa masih menilai sama ada kes itu boleh disahkan.

Selain itu, Padilla mengesahkan bahawa kesemua 14 penumpang warga Sepanyol di atas kapal persiaran MV Hondius telah bersetuju untuk menjalani kuarantin secara sukarela bagi meminimumkan risiko penularan lanjut.

Kapal persiaran ekspedisi yang dikendalikan syarikat Belanda itu, yang kini menuju ke Kepulauan Canary, Sepanyol, setakat ini dikaitkan dengan tiga kematian.

Padilla turut memaklumkan, pasukan dari Kementerian Kesihatan Sepanyol akan berlepas ke Tenerife pada Sabtu menjelang ketibaan kapal itu yang dijangka pada Ahad.

Penumpang dijangka turun melalui bot kecil sebelum dipindahkan di bawah langkah pengasingan ketat.

Warga Sepanyol di atas kapal itu akan dibawa ke Madrid untuk pemantauan kuarantin.-Bernama.