
KELANA JAYA, 17 April- Pengiktirafan ASEAN Co-operative Organization (ACO) sebagai entiti bersekutu ASEAN membuka ruang lebih besar kepada suara dan peranan gerakan koperasi untuk diarusperdanakan dalam penggubalan dasar di peringkat tertinggi serantau.
- Pengiktirafan rasmi disahkan menerusi surat Setiausaha Agung ASEAN, diluluskan oleh semua negara anggota.
- Pengiktirafan memperluas kerjasama rentas sempadan dan memperkukuh jaringan perniagaan koperasi.
- Membolehkan usaha memperkasa ekonomi komuniti melalui ekosistem koperasi yang lebih tersusun dan inklusif.
- Keahlian ACO merangkumi 330,000 koperasi dan 70 juta ahli di 11 negara anggota.
Presiden ACO, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata status berkenaan membolehkan sektor koperasi memainkan peranan lebih signifikan dalam membentuk hala tuju sosioekonomi ASEAN.
“Status ini membolehkan suara dan peranan koperasi diarusperdanakan dalam penggubalan dasar di peringkat tertinggi, sekali gus memperkukuh sumbangan sektor ini terhadap kesejahteraan komuniti ASEAN,” katanya.
Beliau berkata pengiktirafan tersebut turut memperluas ruang kerjasama rentas sempadan serta memperkukuh jaringan perniagaan dalam kalangan koperasi di rantau ini.
Menurutnya, ia juga memberi impak besar kepada usaha memperkasa ekonomi komuniti melalui ekosistem koperasi yang lebih tersusun dan inklusif.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima lawatan rasmi delegasi Kerajaan Kemboja ke ibu pejabat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di sini.
Pengiktirafan ACO sebagai entiti bersekutu ASEAN telah berkuat kuasa sebelum ini, namun pengesahan rasmi disampaikan melalui surat oleh Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn kepada Datuk Seri Dr Abdul Fattah hari ini.
Keahlian ACO merangkumi 330,000 koperasi dengan 70 juta ahli di 11 negara anggota, yang menjadi antara kekuatan utama dalam memperkukuh sumbangan sosioekonomi serantau.