
PETALING JAYA, 17 April – Kemboja menyatakan minat terhadap model Koperasi Kariah Masjid di Malaysia yang dilihat berpotensi untuk dijadikan rujukan dalam pembangunan koperasi di negara mereka, khususnya dari segi penglibatan komuniti dan impak ekonomi setempat.
- Masjid dijadikan platform Koperasi Kariah Masjid yang inklusif, memberi ruang kepada masyarakat Islam dan bukan Islam.
- Koperasi Kariah meningkatkan pendapatan komuniti, memanfaatkan peluang ekonomi kerajaan dan menyatupadukan masyarakat.
- ANGKASA memperluaskan model koperasi sekolah ke Kemboja, Filipina, Indonesia dan merancang perluasan ke Vietnam.
Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, perkara itu sekali gus membuktikan institusi masjid di Malaysia bersifat inklusif dan terbuka kepada seluruh masyarakat, termasuk bukan Islam.
“Kita di Malaysia, antara pendekatan yang dilaksanakan ialah menjadikan masjid sebagai platform untuk menggerakkan Koperasi Kariah Masjid.Koperasi Kariah Masjid ini diwujudkan sebagai satu platform yang memberi ruang kepada masyarakat.
“Ia termasuk masyarakat Islam dan bukan Islam di sesebuah kariah atau kampung, untuk bersama-sama menggerakkan aktiviti ekonomi melalui koperasi.
“Pendekatan ini digunakan bagi meningkatkan pendapatan komuniti, merebut peluang-peluang ekonomi yang disediakan kerajaan, serta pada masa yang sama menyatupadukan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan rasmi delegasi dari Kemboja yang diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Kemboja Sman Manan yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Takaful Amanah Kemboja (CATA).
Selain itu beliau turut diiringi Timbalan Setiausaha Negara, Kementerian Penerangan serta Timbalan Setiausaha Yayasan Pembangunan Muslim Kemboja (CMDF) Dr. Alfin Sles dan Pengarah Eksekutif CATA, Sen Saman
Dalam perkembangan berkaitan, ANGKASA turut memaklumkan bahawa model koperasi sekolah di Malaysia kini mula diperluaskan ke peringkat serantau dengan penubuhan entiti serupa di Kemboja, Filipina dan Indonesia, selain perancangan untuk diperluas ke Vietnam.
Model koperasi sekolah itu melibatkan penyertaan menyeluruh warga sekolah termasuk guru, kakitangan dan pelajar, sekali gus mewujudkan ekosistem koperasi yang lebih mampan serta memberi manfaat langsung kepada komuniti pendidikan.