Piala Dunia 2026: Messi buru rekod penampilan kali keenam

Ketua pasukan Argentina, Lionel Messi / REUTERS

KANSAS CITY, 16 Jun – Peminat seluruh dunia kini tidak sabar untuk menyaksikan kelibat Lionel Messi mencipta rekod penampilan kali keenam di pentas Piala Dunia 2026 apabila Argentina memulakan misi mempertahankan kejuaraan menentang Algeria di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Messi pulih sepenuhnya selepas kecederaan otot, beraksi 20 minit dan menjaringkan penalti dalam persahabatan menentang Iceland.
  • Scaloni: Messi watak utama, peranannya lebih besar; pasukan tenang dan yakin walau pembukaan bukan penentu.
  • Scaloni beri amaran tentang ancaman pasukan Afrika termasuk Algeria; format 48 pasukan tunjukkan semua lawan mampu mengejutkan.

Bintang sensasi berusia 38 tahun itu bakal melakar sejarah baharu sebagai pemain pertama beraksi dalam enam edisi Piala Dunia, selepas empat tahun lalu berjaya memimpin negaranya menjulang trofi berprestij itu di Qatar.

Kehadiran Messi ke kejohanan kali ini sempat mencetuskan kebimbangan peminat selepas dia mengalami kecederaan otot ketika membantu Inter Miami menang 6-4 ke atas Philadelphia bulan lalu.

Bagaimanapun, dia membuktikan sudah kembali cergas sepenuhnya selepas beraksi cemerlang selama 20 minit dan meledak gol penalti dalam aksi persahabatan terakhir menentang Iceland, minggu lepas.

“Bukan sahaja rakyat Argentina, malah semua orang di dunia ini mahu melihat dia berada di atas padang kerana impak besar yang dibawanya kepada peminat,” kata pengendali Argentina, Lionel Scaloni dalam sidang media praperlawanan.

“Dia sentiasa menjadi watak paling penting buat kami dan kali ini peranannya akan menjadi jauh lebih besar. Dia kelihatan sangat bersedia,” tambah Scaloni.

Perkara itu turut dikongsi pertahanan veteran, Nicolas Otamendi yang telah mengharungi sebahagian besar karier antarabangsanya di samping Messi dan kini bersedia untuk penampilan Piala Dunia keempatnya.

“Dia adalah seorang yang sangat dahagakan kemenangan. Dia sentiasa membuatkan anda terus mencuba dan tidak membiarkan anda leka.

“Kami menikmati setiap saat bersamanya. Dia seorang yang sangat rendah diri dan sentiasa gembira ketika sesi latihan serta waktu berkumpul bersama pasukan,” kata bekas pertahanan Manchester City itu.

Selain Messi, Scaloni sebelum ini turut bimbang dengan tahap kecergasan penjaga gol Emi Martinez dan penyerang Julian Alvarez, namun kedua-dua pemain itu dijangka sempat cergas untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama di Kansas City.

Mengulas mengenai aksi pembukaan, Scaloni mengambil iktibar daripada kekalahan mengejut 2-1 kepada Arab Saudi pada aksi pertama di Qatar empat tahun lalu sebelum mereka bangkit bergelar juara dunia.

“Piala Dunia lalu mengajar kami bahawa perlawanan pembukaan bukanlah penentu segalanya. Ia penting.

“Tetapi kami kini lebih tenang kerana tahu perjuangan tidak berakhir di situ. Kami akan menentang pasukan yang sangat bagus, tetapi kami berada dalam keadaan terbaik, penuh yakin dan tiba di sini dengan prestasi yang mantap,” jelasnya.

Scaloni turut mengingatkan pasukannya tentang ancaman besar yang mampu dihadirkan oleh wakil Afrika dalam format baharu Piala Dunia yang menampilkan 48 pasukan ini.

Amaran itu jelas kelihatan selepas pasukan kerdil, Cape Verde berjaya mengikat Sepanyol 0-0, manakala Maghribi mengikat juara dunia lima kali, Brazil 1-1, pada Ahad.

“Algeria adalah lawan yang mempunyai persamaan dengan Maghribi. Mereka mempunyai pemain-pemain hebat dan jurulatih yang bagus. Perlawanan Brazil menentang Maghribi adalah contoh terbaik mengapa kami tidak boleh terlalu yakin.

“Kita juga sudah melihat apa yang berlaku kepada Sepanyol bahawa tiada lawan yang mudah di sini. Semua pasukan ini layak ke Piala Dunia atas merit mereka sendiri dan Algeria pastinya menuntut kewaspadaan tinggi daripada kami kerana mereka adalah sebuah pasukan yang hebat,” kata Scaloni lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.