
LOS ANGELES, 16 Jun – Iran terpaksa bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang New Zealand dalam aksi Kumpulan G.
- Elijah Just menjaringkan gol awal hasil rembatan voli selepas hantaran jauh dan lorongan Chris Wood.
- Rezaeian menyambar bola muntah hantaran Saman Ghoddos untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-32.
- Mohebi menyamakan menerusi tandukan Rezaeian, namun asakan Iran gagal menembusi benteng pertahanan New Zealand.
Dalam perlawanan tersebut Iran dikejutkan seawal minit ketujuh oleh jaringan Elijah Just.
Gol berkenaan berpunca daripada serangan balas pantas New Zealand yang dimulakan oleh penyerang Nottingham Forest, Chris Wood.
Wood menyambut hantaran jauh sebelum melorongkannya kepada Just yang melepaskan rembatan voli padu bagi gol pendahuluan buat New Zealand.
Tersentak dengan gol berkenaan, Iran kembali memperkemaskan permainan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-23 menerusi rembatan jauh Mehdi Taremi.
Usaha Iran akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-32 selepas Razaeian berjaya menyambar bola muntah hantaran Saman Ghoddos.
Sebelum tamat babak pertama, Iran sekali lagi hampir mendahului, namun jaringan Ali Nemati dibatalkan selepas beliau berada dalam kedudukan ofsaid.
Bersambung babak kedua, New Zealand kembali berada di depan pada minit ke-55 menerusi jaringan Just sekali lagi.
Gol berkenaan terhasil daripada gerakan satu-dua menarik bersama-sama Wood.
Bagaimanapun, kegembiraan New Zealand hanya bertahan sembilan minit sebelum Iran menyamakan kedudukan menerusi tandukan kencang Mohebi berpunca hantaran lintang menarik daripada Rezaeian.
Iran terus mempertingkatkan asakan, namun penyudah yang kurang kemas serta benteng pertahanan kental New Zealand berjaya menghalang mereka daripada memperoleh gol kemenangan. – AFP