Piala Dunia 2026 :Iran ditindas – Amir Ghalenoei

Foto REUTERS

LOS ANGELES, 16 Jun – Pengendali Iran, Amir Ghalenoei menyifatkan skuad kendaliannya sebagai “pasukan paling ditindas dalam Piala Dunia” selepas para pemainnya dimaklumkan bahawa mereka perlu melakukan perjalanan pulang ke Mexico serta-merta, sejurus selepas aksi pembukaan kumpulan tamat disini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kelewatan ketibaan menjejaskan persiapan dan memberi kurang masa untuk pemulihan fizikal pemain.
  • Tiada penjelasan rasmi diberikan mengenai perubahan mengejut pada jadual pelepasan pasukan.
  • Kedatangan mereka dibayangi krisis diplomatik apabila AS enggan mengeluarkan visa bagi kakitangan sokongan.
  • Kem latihan dipindah saat akhir dari Tucson ke Tijuana akibat isu visa dan masalah logistik; Taremi panggilnya 'bencana'.

“Mereka melambatkan ketibaan kami, dan kini mereka memaksa kami untuk pulang lebih awal tanpa memberikan masa yang cukup untuk proses pemulihan fizikal,” kata Ghalenoei kepada pengamal media susulan keputusan seri 2-2 menentang New Zealand.

Ghalenoei menjelaskan beliau tidak menerima sebarang penjelasan rasmi berhubung perubahan mengejut waktu pelepasan itu, memandangkan pasukannya sebelum ini dijangka dibenarkan untuk terus berada di Amerika Syarikat sehingga waktu makan tengah hari pada Selasa.

“Mereka sengaja menjadikan situasi ini semakin sukar dan meletakkan lebih banyak rintangan buat kami. Tetapi kami tidak akan membiarkan perkara tersebut menghalang kami daripada memberikan aksi yang terbaik”, ujarnya.

Iran tiba di kejohanan ini di bawah bayang-bayang krisis diplomatik yang tegang selepas pihak AS yang terlibat dalam konflik ketenteraan dengan Iran sejak beberapa bulan lalu enggan mengeluarkan visa untuk beberapa kakitangan sokongan pasukan.

Skuad berkenaan turun beraksi menentang New Zealand pada Isnin, hanya sehari selepas perjanjian damai antara AS dan Iran diumumkan, sekali gus menamatkan operasi ketenteraan di semua sektor secara “serta-merta dan kekal”.

Pasukan itu pada asalnya merancang untuk membina kem latihan mereka di Tucson, Arizona, namun terpaksa memindahkannya pada saat-saat akhir ke Tijuana, Mexico akibat isu visa dan masalah logistik.

Dalam pada itu, penyerang bintang Iran, Mehdi Taremi turut mengecam layanan yang diterima oleh pasukannya sepanjang kejohanan dan menyifatkannya sebagai satu “bencana”.

“Ia memberikan tekanan yang amat besar kepada para pemain, kakitangan, dan semua pihak. Kami tidak mendapat sokongan yang sepatutnya, dan saya berpendapat FIFA perlu membantu kami dengan lebih banyak lagi,” kata bekas pemain Inter Milan itu kepada pemberita.

Beliau menambah: “Secara jujurnya, segala-galanya yang berlaku kepada kami ketika ini adalah seperti sebuah bencana”, katanya.

Iran dijadualkan bertemu Belgium pada perlawanan peringkat Kumpulan G pada 21 Jun sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Mesir pada 26 Jun. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.