Renard dilantik sebagai pengendali baharu Tunisia

Para pemain Tunisia kembali ke padang latihan sebagai persediaan menentang Jepun / REUTERS

TUNIS, 16 Jun – Tunisia bertindak memecat pengendali pasukan, Sabri Lamouchi susulan kekalahan memalukan 5-1 kepada Sweden dalam aksi pembukaan Piala Dunia dan dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan pakar taktikal Perancis, Herve Renard sebagai pengganti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengurus Sabri Lamouchi dipecat selepas kekalahan memalukan 5-1 kepada Sweden pada aksi pembukaan Piala Dunia.
  • Persatuan mencapai persetujuan dengan pakar taktikal Perancis Herve Renard sebagai pengganti.
  • Renard pernah memenangi Piala Negara Afrika dua kali; pernah bimbing Zambia dan Ivory Coast.
  • Beliau juga terkenal selepas membawa Arab Saudi menewaskan Argentina pada Piala Dunia 2022; pelantikan untuk pulihkan keyakinan.

Menurut laporan agensi berita rasmi tempatan, Tunis Afrique Presse (TAP) pada Selasa, keputusan drastik itu dicapai persatuan bola sepak negara tersebut selepas skuad The Eagles of Carthage menampilkan aksi longlai dalam perlawanan pertama Kumpulan F di Monterrey, Ahad lalu.

Lamouchi, yang dilantik pada Januari lepas dengan kontrak jangka panjang sehingga tahun 2028, menjadi pengurus pertama yang dipecat dalam kempen Piala Dunia kali ini akibat prestasi buruk yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya.

Tugas getir kini dipikul oleh seorang lagi warga Perancis, Herve Renard, yang turut mempunyai reputasi besar dalam kancah bola sepak antarabangsa.

Renard dikenali sebagai pengurus yang pernah memenangi trofi Piala Negara Afrika sebanyak dua kali dengan dua negara berbeza iaitu Zambia dan Ivory Coast.

Selain itu, pengendali berusia 57 tahun itu turut dikenali dengan sentuhan magisnya ketika membimbing Arab Saudi pada Piala Dunia 2022 di Qatar yang menyaksikan Arab Saudi melakar kejutan terbesar dengan menewaskan Argentina yang pada aksi peringkat kumpulan.

Pelantikan Renard dianggap sebagai langkah segera untuk menyuntik semula keyakinan dan disiplin ke dalam skuad Tunisia sebelum turun mengharungi baki perlawanan peringkat kumpulan F.

Tunisia dijadualkan turun menentang wakil Asia, Jepun pada Sabtu ini, sebelum menutup saingan Kumpulan F menentang gergasi Eropah, Belanda pada 25 Jun depan.

Sementara itu, barisan pemain Tunisia dilaporkan telah kembali berlatih di Monterrey pada Isnin, hanya sehari selepas melalui permulaan yang cukup perit dalam kempen Piala Dunia mereka. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.