Kedah akan laksana dasar penjimatan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 17 April – Kerajaan Negeri Kedah akan turut melaksanakan dasar penjimatan dalam perbelanjaan bagi pengurusan kewangan negeri serta langkah menghadapi tekanan kos dan krisis tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Besar Kedah akhirnya selari dengan garis kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Langkah penjimatan dianggap dialu-alukan walaupun lewat, mencerminkan pendekatan matang dan berpaksikan realiti Kerajaan MADANI.
  • Keutamaan mesti kepada penyelesaian praktikal, bertanggungjawab; harapan supaya disiplin fiskal kekal konsisten, bukan bermusim.

Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kedah Tunku Nashrul Abaidah yang juga Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, Menteri Besar Kedah akhirnya mengambil pendirian untuk selari dengan garis kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Langkah ini, walaupun lewat, tetap dialu-alukan. Sekurang-kurangnya ia mengakui bahawa pendekatan matang, berhemah dan berpaksikan realiti seperti yang digariskan Kerajaan MADANI bukan sekadar retorik, tetapi satu keperluan.

“Dalam suasana krisis yang semakin kompleks dan saling berkait, kerajaan negeri tidak boleh terus terperangkap dalam politik sensasi atau kenyataan populis.

“Keutamaan mesti beralih kepada penyelesaian yang tuntas, praktikal danbertanggungjawab, sebagaimana yang telah lama ditunjukkan di peringkat Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan sama turut menyatakan langkah tersebut pernah dipersoal dan diperkecilkan namun pendekatan sama dijadikan sandaran.

“Jika ini permulaan kepada perubahan tersebut, maka ia wajar disokong, meskipun mengambil masa untuk sampai ke tahap ini.

“Barangkali selepas penganjuran rumah terbuka Aidilfitri berskala besar, akhirnya terserlah juga kesedaran bahawa disiplin fiskal bukan pilihan, tetapi keperluan.

“Rakyat Kedah tentunya mengharapkan kesedaran ini kekal konsisten, bukan bermusim,” tambah kenyataan itu.