
CHURU, 16 Jun – Ribut debu gergasi dilaporkan membadai daerah Churu di wilayah Rajasthan pada Isnin, sekali gus mencetuskan huru-hara serta melumpuhkan rangkaian lebuh raya utama di kawasan berkenaan.
- Jarak penglihatan merosot mendadak sehingga hampir sifar, memaksa kenderaan berhenti di bahu jalan.
- Pihak berkuasa mengeluarkan amaran keselamatan, pengguna jalan raya diminta hentikan perjalanan atau bertindak berwaspada tinggi.
- Meteorologi sahkan ia sebahagian fasa cuaca ekstrem pra-monsun; penduduk dinasihatkan tinggal di rumah elak risiko kesihatan.
Kejadian berlaku sekitar pukul 1:00 tengah hari waktu tempatan itu membawa angin kencang bersama kepulan debu tebal yang melitupi ruang udara.
Fenomena ini menyebabkan jarak penglihatan merosot mendadak sehingga hampir sifar hingga memaksa kenderaan berhenti di bahu jalan akibat keadaan yang terlalu bahaya untuk meneruskan perjalanan.
Susulan situasi ekstrem itu, pihak berkuasa tempatan segera mengeluarkan amaran keselamatan dan menggesa pengguna jalan raya agar menghentikan perjalanan serta merta atau mengambil langkah berwaspada yang tinggi.
Pakar meteorologi melaporkan bahawa kejadian ribut debu ini merupakan sebahagian daripada rangkaian fasa cuaca ekstrem pra-monsun yang kerap melanda beberapa bahagian di wilayah Rajasthan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
“Penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan untuk terus berada di dalam rumah bagi mengelak implikasi kesihatan daripada debu tebal tersebut, sementara pasukan penyelamat kekal berada dalam kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi sebarang kecemasan lanjutan,” katanya.- AFP