
BATU PAHAT, 17 April – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau secara rapi kenaikan harga peranti perubatan yang dilihat semakin meningkat sejak awal tahun ini.
- Beberapa peranti perubatan mencatat kenaikan harga antara 50 hingga 100 peratus.
- Kenaikan dipercayai berpunca daripada gangguan rantaian bekalan global dan penangguhan penghantaran sejak Januari.
- Pemantauan berterusan melalui sistem penjejakan stok, pengurusan inventori dan kerjasama dengan syarikat farmaseutikal serta pihak industri.
- KKM akan mengambil langkah proaktif menangani kenaikan kos supaya kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terjejas.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kenaikan tersebut melibatkan pelbagai peralatan perubatan dengan sebahagiannya mencatat peningkatan harga antara 50 hingga 100 peratus.
Situasi itu dipercayai berpunca daripada gangguan rantaian bekalan global, termasuk faktor pengeluar yang menangguhkan penghantaran sejak Januari lalu, sekali gus memberi kesan kepada pasaran tempatan.
“Sebulan dua bekalan tergendala. Bila berlaku sebegini memang sudah ada kenaikan kos. Kita akan pantau. Mungkin kita akan dapatkan maklumat lebih terperinci sebab kita nak tahu situasi di seluruh negara,” katanya.
Pemantauan berterusan dilaksanakan melalui sistem penjejakan stok dan pengurusan inventori, selain kerjasama dengan syarikat farmaseutikal serta pihak industri bagi memastikan bekalan sentiasa terkawal.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau keperluan fasiliti kesihatan di sekitar Batu Pahat, termasuk di Parit Raja, Seri Gading, Parit Yaani dan Tongkang Pecah yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM3.421 juta.
Tambahnya, KKM turut memberi jaminan akan terus mengambil langkah proaktif bagi menangani sebarang kenaikan kos, khususnya melibatkan peralatan kritikal demi memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terjejas.