
KUALA LUMPUR, 17 April – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyangkal laporan sebuah akhbar bertarikh 15 April 2026 yang mendakwa kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik kini menjadi milik Indonesia.
- Penjajaran sempadan dimeterai melalui MoU pada 18 Februari 2025, menamatkan rundingan teknikal lebih 45 tahun.
- Pulau Sebatik: Malaysia memperoleh tambahan 5 hektar, manakala 123 hektar berpindah ke wilayah Indonesia.
- Proses pelaksanaan dibuat bersama, berlandaskan undang-undang antarabangsa, tanpa pampasan, dengan kajian teknikal dan penglibatan agensi Negeri Sabah.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menegaskan, kenyataan tersebut adalah tidak tepat dan tidak selaras dengan rekod rasmi yang telah dipersetujui Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Indonesia.
“Penyelesaian penjajaran semula persempadanan di Pulau Sebatik telah dibuat secara berpakej dengan penyelesaian di Sungai Sinapad dan Sungai Sesai, di mana Malaysia telah memperoleh pertambahan wilayah seluas 780 hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Indonesia.
“Hasil dari penjajaran semula persempadanan di Pulau Sebatik pula, Malaysia memperoleh perluasan wilayah seluas 5 hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Indonesia, kini berada dalam wilayah Malaysia.
“Manakala kawasan seluas 123 hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini berada dalam wilayah Indonesia,” menurut kenyatan itu.
Pemuktamadan jajaran sempadan telah dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dengan Republik Indonesia pada 18 Februari 2025, sekali gus menandakan pencapaian signifikan kepada rundingan teknikal yang berlangsung selama lebih 45 tahun.
Bagi memastikan kepentingan negeri sentiasa terpelihara, Kerajaan Negeri Sabah sentiasa dilibatkan secara konsisten melalui penyertaan wakil daripada Jabatan Ketua Menteri Sabah, Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah dan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTUS).
“NRES ingin menegaskan bahawa keseluruhan proses ini dilaksanakan berdasarkan persetujuan bersama antara kedua-dua negara, selaras dengan undang-undang antarabangsa serta tidak melibatkan prinsip pampasan, timbal balik atau pertimbangan untung-rugi,” tambah kenyataan itu.
Penentuan sempadan darat itu berasaskan Boundary Convention 1891 yang ditandatangani antara Kerajaan British dan Kerajaan Belanda pada 20 Jun 1891, apabila Artikel IV menetapkan jajaran sempadan di sepanjang latitud 4º 10’ Utara.
“Semakan teknikal pada 1983 mendapati terdapat perbezaan antara rekod di lapangan dengan perjanjian asal.
“Kerja-kerja siasatan, penandaan dan pengukuran semula telah dilaksanakan secara bersama oleh pasukan ukur kedua-dua negara dari bulan Februari hingga November 2019, menggunakan peralatan ukur moden serta teknologi terkini bagi memastikan jajaran sempadan ditentukan dengan lebih tepat selaras dengan prinsip perjanjian asal,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama pihak media disarankan untuk mendapatkan pengesahan daripada sumber berautoriti sebelum menyiarkan sebarang laporan berkaitan isu sempadan negara bagi memastikan ketepatan serta mengelakkan kekeliruan dan persepsi tidak tepat dalam kalangan masyarakat.