
KUANTAN, 20 April – Hujan lebat selama lebih dua jam mengakibatkan kejadian banjir kilat di kawasan Habu Heights, Cameron Highlands, petang tadi.
RINGKASAN BERITA AI
- Aliran air lumpur deras dari kawasan tinggi mengalir ke jalan utama Ringlet.
- Keadaan terkawal dan air surut sepenuhnya sekitar jam 4 petang.
- Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan; dua kenderaan dilaporkan dihanyutkan dan laporan polis dibuat.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Supt Azri Ramli berkata hujan lebat yang bermula 2 petang menyebabkan aliran air lumpur deras dari kawasan tinggi mengalir ke jalan utama Ringlet.
“Bagaimanapun keadaan terkawal dan air surut sepenuhnya sekitar 4 petang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Azri berkata tiada laporan kemalangan jiwa diterima, namun terdapat dua laporan polis membabitkan dua kenderaan dihanyutkan arus deras.
Beliau berkata tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan dan keadaan di lokasi kini kembali selamat untuk dilalui. – BERNAMA